Siakap Keli
Gambar: Victoria University

Larangan Memiliki Gaya Potongan Rambut Bergaris Atau Bercorak, Ini Penjelasan Pejabat Mufti WP

Bagi setiap lelaki, memiliki gaya rambut yang kemas dan cantik merupakan satu ‘aset’ penting dalam penampilan diri. Sebab itulah kebanyakan lelaki begitu menjaga rambut mereka, termasuklah dalam bab cara memotongnya.

Apabila pergi ke kedai gunting rambut, terdapat banyak gaya pemotongan yang ditawarkan si tukang gunting. Semuanya unik dan kemas belaka, malah mungkin ada juga menyukai gaya potongan yang mengikut trend terkini.

Bagaimanapun, pernahkah anda mendengar istilah qaza’? Ia berkaitan dengan gaya pemotongan rambut yang hanya memotong pada sebahagian kepala sahaja.

Adakah gaya pemotongan qaza’ ini dibolehkan dan apakah hukumnya di sisi syariat? Mari ikuti penjelasan daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan seperti di bawah ini. Semoga bermanfaat!

Larangan Memiliki Potongan Rambut Bergaris/Bercorak

Rambut merupakan mahkota setiap insan. Naluri setiap manusia berkeinginan untuk memiliki fesyen rambut tertentu seiring dengan peredaran zaman.

Namun sebagai umat Islam kita perlu cakna tentang beberapa larangan dalam memiliki potongan rambut tertentu agar tidak bertentangan dengan syariat Islam.

Maksud qaza’

Secara umumnya, menurut Al-Misbah al-Munir (502), definisi qaza‘ ialah mencukur sebahagian rambut tanpa sebahagian yang lain.

Manakala Imam al-Nawawi dalam Minhaj Syarh Muslim (14/01) pula mendefiniskan qaza’ sebagai mencukur sebahagian rambut seorang anak dan meninggalkan sebahagian yang lain.

Berdasarkan kedua-dua definisi tersebut, dapat kita fahami bahawa qaza‘ adalah perbuatan seseorang yang memotong atau mencukur sebahagian rambut dan meninggalkan sebahagian rambut yang lain bagi tujuan mengikuti fesyen potongan rambut tertentu.

Antara contoh potongan rambut termasuklah fesyen yang berbentuk seperti skin fade, taper fade, flat top, pompadour, 4am fade, upper cut, under cut, crew cut, mid fade dan lain-lain.

Bagaimanapun, terdapat hadis yang melarang perbuatan qaza‘ seperti yang diriwayatkan oleh Ubaidullah bin Hafs RA yang bermaksud:

“Aku mendengar Rasulullah SAW melarang qaza’. Ubaidullah berkata, aku berkata, “Apakah qaza’ itu?”. Ubaidullah mengisyaratkan kepada kami dan berkata, “Apabila seorang anak dicukur dan ditinggalkan rambutnya di sini dan di sini serta di sini”. Ubaidullah mengisyaratkan kepada kami kepada ubun-ubun dan kedua sisi kepalanya. Ubaidullah ditanya, “Anak perempuan dan anak lelaki?”. Dia berkata, “Saya tidak tahu”. Dia mengatakan , “Seorang anak”. Ubaidullah berkata aku pun kembali bertanya, maka dia berkata rambut pelipis dan bahagian tengkuk bagi anak lelaki tidak mengapa. Qaza’ adalah meninggalkan rambut di bahagian ubun-ubun sementara tidak ada rambut di kepalanya. Demikian pula membelah rambut kepalanya begini dan begini.” (Riwayat Al-Bukhari)

Selain itu, terdapat larangan melakukan qaza‘ dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.Anhuma yang bermaksud:

“Sesungguhnya Rasulullah SAW telah melarang melakukan qaza’. Aku bertanya kepada Nafi’, apakah itu qaza’? Nafi’ menjawab mencukur sebahagian rambut anak kecil dan membiarkan sebahagian yang lain.” (Riwayat Muslim)

Berdasarkan kedua-dua hadis di atas, jelas menunjukkan tentang larangan perbuatan qaza‘ dalam Islam iaitu memotong atau mencukur sebahagian rambut dan meninggalkan sebahagian yang lain.

Imam al-Nawawi melalui Raudhah al-Talibin (3/234) menyatakan dalam penulisannya, bahawa makruh (perbuatan) qaza‘ iaitu mencukur sebahagian kepala sama ada di tempat yang berbeza atau di tempat yang sama berdasarkan hadis (Bukhari dan Muslim) yang disebut larangannya.

Kesimpulan & penutup

Kesimpulannya, para ulama telah bersepakat bahawa qaza‘ adalah perbuatan yang MAKRUH sekiranya dilakukan pada tempat yang berbeza atau di tempat yang sama.

Walau bagaimanapun, qazaDIHARUSKAN untuk tujuan PERUBATAN (berbekam atau seumpamanya) dan hukum ini terpakai ke atas lelaki dan perempuan.

Umat Islam juga perlu mengetahui bahawa menghindari melakukan qaza‘ adalah lebih baik daripada melakukannya.

Gambar: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

" "