Siakap Keli
Gambar: Bernama

Polis Terima Laporan Kebocoran Data Peribadi Awam Daripada JPN – Bukit Aman

KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) — Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan berhubung dakwaan berlaku kebocoran data peribadi awam yang kononnya menerusi data daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata siasatan dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada Timbalan Pengarah JPN di balai polis Presint 7, Putrajaya, semalam.

PDRM akan mendapatkan laporan daripada bahagian teknologi maklumat JPN dan memeriksa sistem JPN serta LHDN untuk mengenal pasti di mana kebocoran data awam berkenaan.

“Setakat ini, PDRM masih perhalusi dakwaan itu daripada pelbagai sudut dan tindakan awal kami akan block (sekat) daripada dijual.

“PDRM tidak menolak kemungkinan wujud penglibatan orang dalam namun siasatan akan dibuat secara menyeluruh kepada semua pihak terbabit dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Siber Sekuriti Agensi Keselamatan Siber Negara,” katanya dalam sidang media khas di Balai Polis Jinjang di sini hari ini.

Mohd Kamarudin berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997.

Hari ini, satu forum perbincangan digital  melaporkan pangkalan data milik JPN telah disenaraikan untuk dijual dalam pasaran forum pangkalan data yang terkenal dengan menawarkan empat juta data peribadi awam diperoleh daripada laman web Lembaga Hasil Dalam Negeri melalui myIDENTITY.

Sementara itu, LHDN dalam kenyataan hari ini menafikan laporan sebuah perbincangan digital mendakwa empat juta data yang bocor diperoleh daripada laman sesawang agensi itu melalui Application Programming  Interfaces (API) yang dibuat untuk myIDENTITY di bawah seliaan JPN.

Menurut kenyataan itu, LHDN hanya pengguna dan bukannya pemilik kepada sistem myIDENTITY tersebut.

“Siasatan dalaman telah dijalankan dan mendapati tidak berlaku sebarang kebocoran data dan maklumat seperti yang didakwa.

“LHDN juga sedang bekerjasama dengan  pihak JPN dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi melihat semua kemungkinan berkenaan dakwaan ini,” menurut kenyataan itu.

LHDN dalam kenyataan turut memberikan jaminan semua data dan maklumat berada dalam simpanan agensi itu selamat kerana dilindungi dengan teknologi keselamatan data yang diiktiraf.

Kenyataan itu memaklumkan LHDN kesal dengan laporan dan dakwaan berkenaan kerana boleh menghakis keyakinan orang ramai khususnya pembayar cukai terhadap keselamatan data dan maklumat mereka.

“LHDN juga ingin menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dengan perkara yang tular seumpama ini dan turut tidak menolak kemungkinan ia dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan niat untuk mengelirukan dan menipu masyarakat,” menurut kenyataan itu.

— BERNAMA

" "