Siakap Keli
Gambar Hiasan Via Samsung Newsroom

Bercita-cita Tinggi, Samsung Rancang Cipta Cip Yang Boleh Tiru Fungsi Otak Manusia

Samsung Electronics dilaporkan mempunyai wawasan untuk mengembangkan cip yang boleh meniru fungsi otak manusia dengan lebih baik. Ini bermakna, mereka akan copy-paste otak manusia ke cip silikon.

Menurut laporan Detik.com, Samsung Advanced Institute of Technology (SAIT)  telah bekerjasama dengan penyelidik dari Universiti Harvard dan menerbitkan kertas penyelidikan yang bertajuk ‘Neuromorphic electronics based on copying and pasting the brain‘.

Kertas kajian itu mencadangkan cara untuk menyalin peta sambungan neuron otak menggunakan susunan nanoelectrode yang dikembangkan oleh Profesor Park Hongkun dan Profesor Donhee Ham.

Menerusi laporan yang diterbitkan oleh Samsung Newsroom pula, pendekatan salin dan tampal ini membolehkan pengkaji berupaya untuk mencipta cip memori yang menghampiri ciri pengkomputeran otak yang unik, pembelajaran fleksibel, penyesuaian dengan persekitaran dan bahkan autonomi dan kognitif yang berada di luar jangkauan teknologi semasa.

Dalam pada itu, tujuan asal kejuruteraan neuromorfik dilancarkan sejak tahun 1980-an bertujuan untuk meniru struktur dan fungsi rangkaian neuron pada cip silikon. Namun, ia terbukti sukar dilakukan kerana sehingga kini tidak dapat diketahui dengan jelas bagaimana sejumlah besar neuron boleh ‘terikat’ bersama-sama sehingga menghasilkan fungsi otak ke tahap yang lebih tinggi.

Justeru, tujuan kejuruteraan neuromorfik telah ‘dimudahkan’ iaitu untuk merancang cip yang ‘diilhamkan’ dari fungsi otak.

“Visi yang kami sampaikan ini sememangnya sangat bercita-cita tinggi. Ia akan ‘memecahkan sempadan’ kecerdasan mesin, ilmu saraf dan teknologi semikonduktor,” kata Profesor Ham.

Dengan pengalaman terkemuka dalam pembuatan cip, Samsung merancang untuk meneruskan penyelidikan dalam bidang kejuruteraan neuromorfik ini untuk memperluaskan kepimpinan syarikat itu dalam bidang semikonduktor AI generasi akan datang.

Sumber: Detik News, Samsung Newsroom

Sofea

There's always another side to every story