LABUAN, 3 Okt (Bernama) — Seorang remaja hilang dikhuatiri lemas selepas mandi-manda di sebuah pantai Sungai Miri dekat Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) di sini hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Al Saeif Manahan, 17, dipercayai berenang di pantai itu bersama abang tirinya Al Faiez Rizal Adnan, 23, kira-kira pukul 1 tengah hari tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan Ismaidi Ismail berkata pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada 2.45 petang dan satu pasukan mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan ke tempat kejadian.
“Kami diberitahu ada dua kanak-kanak, bagaimanapun sebaik tiba di pantai, kami dimaklumkan bahawa seorang lelaki dewasa dengan adik tirinya (yang hilang ketika berenang) di pantai itu,” katanya kepada Bernama hari ini.
Bagaimanapun, Al Faiez ditemukan terapung tidak jauh dari pantai itu dan diselamatkan setengah jam kemudian selepas operasi SAR dijalankan.
Beliau berkata setakat 5 petang ini, operasi SAR bagi mencari Al Saeif masih diteruskan.
Sumber: BERNAMA