Siakap Keli
Gambar Hiasan via Google

Doktor Kongsi Kisah Pilu Lelaki Berbadan Besar , Telinga Bertindik Dan Bertatu Menangis Lepas Lihat Bayi Ini

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Memiliki cahaya mata sudah pasti menjadi impian setiap pasangan suami isteri. Tak lengkap rasanya mahligai rumahtangga yang dibina tanpa kehadiran anak sebagai penyeri.

Oleh sebab itu, bila terjadi sesuatu kepada anak-anak, ibu bapa pasti akan jadi yang paling terasa. Begitu juga dengan lelaki bergelar ayah ini. Hati mana yang tak luluh bila melihat anak sendiri berselirat tiub pernafasan sejurus dilahirkan ke dunia.

Melalui hantaran di laman Twitter Dr Redza Zainol, doktor paediatrik ini berkongsi kisah pilu seorang ayah yang terpaksa melihat bayinya yang kritikal selepas dilahirkan. Ikuti perkongsian Dr Redza di bawah ini.

“Dia lihat anaknya, mata ayah ni mula berkaca-kaca..”

Itu hari seorang lelaki berbadan besar datang ke wad bayi. Telinga bertindik dan tangan bertatu.

“Anak encik lahir pramatang 28 minggu. Bila lahir pramatang begini, semua organ dalaman pun sama ikut belum matang.

“Lepas bayi dilahirkan, yang paling penting ialah bayi nak bernafas.

“Tapi disebabkan paru-paru belum matang, dia perlukan bantuan pernafasan,” sambil saya tunjukkan satu tiub yang keluar dari mulut bayi disambung terus ke mesin ventilator.

Dia lihat anaknya, dan mata ayah ni mula berkaca-kaca. Dia minta untuk duduk sebentar sebab kakinya terasa lemah. Perlahan-lahan dia menangis. Dipegang kaki anaknya dan air mata pun tumpah ke pipi.

Isteri sakit lepas pembedahan, anak kecil kritikal

Dalam satu buku diceritakan yang kekuatan otot, keazaman yang tinggi, stamina, semangat untuk bersaing, agresif, tegas dan kemahiran dalam berstrategi adalah antara ciri maskulin seorang lelaki.

Dan selama beribu tahun, semua sifat maskulin ni tujuannya hanyalah satu. Untuk membentuk naluri lelaki supaya melindungi orang yang tersayang termasuk isteri, anak dan ahli keluarga yang lain.

Namun, dalam keadaan yang ekstrim, bila dia tak dapat lagi melindungi orang yang disayangi, dia hanya mampu menangis. Bayangkan, isteri dalam kesakitan selepas pembedahan. Anak pula kecil dan dalam keadaan kritikal.

Kalau kalian lihat lelaki itu menangis, boleh jadi dia sedang hadapi keadaan yang luar biasa.

“Begitulah seorang lelaki..”

Keesokan harinya, ayah tadi datang lagi. Kali ni bersama isteri.

Kali ni dia nampak tenang dan dia pula yang tak putus-putus menenangkan isterinya. Dia beri kata semangat hinggalah mereka berlalu pergi.

Begitulah seorang lelaki.

Di hadapan keluarga, dialah yang nampak paling tenang dan kuat. Namun di sebalik tu, tangis nya hanya orang seperti kami yang nampak.

Di hadapan keluarga, mungkin dia tak tunjukkan emosinya, tapi percayalah dia sentiasa ada di sisi kita walau apa jua keadaan.

Ucap terima kasih pada suami anda hari ni.

Sumber: Dr Redza Zainol

Eyla Azri

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.