Beratus-ratus makhluk kecil yang pelik dilaporkan telah menetas dan muncul di sekitar tasik Arizona utara selepas hujan lebat yang melanda di kawasan itu pada musim panas.
Menurut renjer di Monumen Nasional Wupatki, Lauren Carter, makhluk yang berukuran seperti berudu itu disebut sebagai Triops yang kelihatan seperti belangkas kecil dengan mempunyai tiga mata.
Difahamkan, telur mereka ‘terbengkalai’ selama beberapa dekad di padang pasir itu sehingga hujan yang lebat turun membentuk tasik sementara, memberikan peluang untuk makhluk kecil itu matang dan bertelur untuk generasi yang berikutnya, lapor Live Science.
Kerana keadaan rupanya yang tidak pernah dilihat sebelum ini, para pelancong melaporkan mengenai makhluk itu yang melingkar sepanjang 32 meter di kawasan tasik.

“Kami tahu bahawa ada air di kawasan padang pasir itu tetapi kami tidak menyangka bahawa ada sesuatu yang pelik di dalamnya,” kata Lauren.
Pada awalnya, mereka merasakan bahawa ia adalah katak yang hidup di liang bawah tanah ketika musim kemarau dan telah muncul semula pada musim hujan untuk bertelur, namun sangkaan mereka meleset.
Menurut Central Michigan University, triops yang bermaksud ‘tiga mata’ dalam bahasa Yunani juga kadang-kadang disebut sebagai ‘udang dinosaur’ kerana sejarah evolusi mereka yang panjang.

Difahamkan, ‘nenek moyang’ kepada hidupan itu berkembang pada zaman Devonian iaitu 419 juta hingga 359 juta tahun yang lalu. Sejak itu, rupa mereka sedikit berubah.
Bagaimanapun, triops tidak sama seperti ‘nenek moyang’ mereka dan ia tidak akan dianggap sebagai ‘fosil hidup’.
“Saya tidak suka istilah ‘fosil hidup’ kerana ia menyebabkan salah faham dalam masyarakat yang menyangka bahawa makhluk itu sama sekali tidak berubah,” kata Lauren.
Triops dapat membesar sehingga 4 sentimeter dengan ‘perisai’ pada kepalanya. Ia juga mempunyai dua mata yang besar dan berbintik hitam dan mata sederhana atau ocellus yang membantunya mengesan cahaya. Jangka hayat makhluk itu hanya dalam tempoh 90 hari sahaja.
Sumber: Live Science, Daily Mail