Siakap Keli

Disambar Api Sampai Melecur Tangan & Muka, Hidup Ali XPDC ‘Lumpuh’ Sampai Berdebar Tiap Kali Bakar Sampah

Sejak dahulu lagi, industri seni di Malaysia sering dihidangkan dengan penyanyi-penyanyi sangat berbakat dan berkualiti tinggi. Apa tidaknya, setiap kali membuat persembahan sama ada di depan khalayak ramai ataupun di depan kamera, semangat yang disampaikan menerusi setiap bait-bait lirik itu sentiasa sampai ke telinga pendengar dan menusuk ke hati. Tidak kurang juga, ada artis ataupun penghibur yang turut diiktiraf di luar negara kerana bakat mereka yang sangat unik.

Kembali kepada era 80-an dan 90-an, terdapat pelbagai kumpulan dan penyanyi yang menjadi idaman rakyat di Malaysia. Tidak kiralah dari segi genre apa seperti rock, balada, pop, hiphop dan banyak lagi, lagu-lagu tersebut bukanlah sekadar ‘basi’ pada zaman itu sahaja, tapi turut didendangkan oleh artis-artis baharu dan anak muda pada zaman ini.

Indah sinar sang suria, merdu irama sang bayu, tiada seindah wajahmu, tiada semerdu suaramu…

Pasti ramai yang mengetahui bait-bait lirik yang dipaparkan seperti di atas, dan mungkin juga sudah ramai yang mendendangkan lagu ini di bibir masing-masing. Suara emas daripada Ali Terra Rossa atau Ali XPDC telah membuatkan lagu ini seakan menjadi ‘fenomena’ sejak dahulu sehinggalah sekarang dalam industri seni tanah air.

Pun begitu, mungkin ramai yang tidak tahu akan nasib yang dilalui oleh beliau dan juga beberapa rakan artis seperjuangan yang pernah menghiburkan kita pada ketika dahulu dalam mendepani cabaran masa kini dan pandemik.

Gambar: Mohd Ali Ismail II

Salah seorang penyanyi rock terkenal Malaysia

Insan yang diberi nama Mohd Ali bin Ismail atau lebih dikenali sebagai Ali Terra Rossa atau Ali XPDC ini merupakan seorang penyanyi terkenal pada era 90-an yang sering mendapat perhatian peminat setiap kali menyampaikan persembahan.

Lahir pada 23 Oktober 1968 di Klang, penyanyi lagenda tanah air ini juga merupakan salah seorang penyanyi rock terkenal di tanah air yang turut merancakkan industri seni pada ketika itu. Mula menceburi bidang muzik pada 1990 sebagai penyanyi, Mohd Ali bergerak bersama kumpulan Terra Rossa yang banyak menyumbangkan lagu-lagu dan salah satu lagu yang menjadi nyanyian sehingga kini adalah Bunga Angkasa.

Perjalanan seni

Setelah lima tahun bersama Terra Rossa dan berjaya menghasilkan dua buah album, Ali mula mengorak langkah sebagai penyanyi solo pada 1995 dan berjaya menghasilkan album solonya.

Bukan terhenti setakat itu sahaja, Ali kembali bergerak sebagai sebuah kumpulan pada dua tahun berikutnya iaitu 1997 sebagai penyanyi bagi kumpulan XPDC. Perkara itu berlaku setelah vokalis XPDC iaitu Mael menarik diri daripada kumpulan itu dan Ali pula menggantikan tempatnya.

Seterusnya, Ali mula mengundurkan diri dari XPDC pada penghujung 2005 atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan. Kemudiannya, Ali dan beberapa pemuzik lain telah menubuhkan satu kumpulan diberi nama Mpire pada penghujung 2005 dan walau bagaimanapun, kumpulan itu tidak dapat bertahan lama ekoran keadaan pasaran muzik tempatan yang suram pada ketika itu.

Ali kemudiannya kembali menyanyi secara solo dan mengeluarkan single terbarunya yang berjudul Sepi Rindu yang telah diterbitkan oleh LIFE Records pada tahun 2011. Setelah itu, Ali mengumumkan bahawa beliau telah berhijrah dan menghasilkan album baru yang lebih bercirikan kerohanian. Album tersebut juga telah mendapat kerjasama dari penceramah agama terkenal iaitu Ustaz Azhar Idrus sebagai penulis lirik.

Diuji muka serta tangan melecur hingga trauma bila tengok api

Pada 26 Mac tahun yang lalu, Ali diuji dengan dugaan wajah dan tangannya melecur akibat disambar api dipercayai ketika dia sedang membakar sampah di belakang rumahnya. Kejadian itu telah menyebabkan 30 peratus di wajah dan mukanya melecur.

Menurut laporan Gempak, Ali juga dikatakan akui bahawa dirinya berdebar apabila nampak api terutamanya ketika hendak membakar sampah.

“Berdebar bila nampak api,”

“..cuma, kemalangan itu meninggalkan kesan pada muka dan tangan saya.”

Perasaan trauma itu ada kadang-kadang apabila saya tengok api. Ada rasa berdebar-debar sikit terutama apabila nak bakar sampah”

Selain itu, pandemik pada tahun lepas memberikan pelbagai impak kepada rakyat Malaysia, terutamanya bagi mereka yang meneruskan kehidupan dengan gaji harian. Begitu juga bagi Ali, beliau turut terkesan ekoran penularan virus tersebut dan telah mengubah hidup penyanyi terkenal yang berusia 53 tahun itu.

Program Musaadah Yadim Bersama Bank Islam Santuni Seniman

Walau bagaimanapun, nasib yang dilalui oleh Mohd Ali telah mendapat perhatian Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) untuk turun meringankan beban yang ditanggung oleh beliau.

Melalui kerjasama bersama Bank Islam Malaysia Berhad(Bank Islam), YADIM bergerak melalui Program Musaadah Yadim Bersama Bank Islam Santuni Seniman.

Program yang berlangsung pada 9 Oktober yang dilakukan sekitar Kuala Lumpur dan Selangor itu dihadiri oleh CEO YADIM, YBRS. Tuan Kamarul Arief Tuan Soh.

Aktiviti yang dijalankan menerusi program ini adalah penyampaian barangan keperluan harian dan wang tunai kepada seniman yang kurang bernasib baik dalam mendepani cabaran pada waktu pandemik ini.

Program yang bermula pada jam 9 pagi semalam mengunjungi seniman seperti Pak Dinie Juri, To’ki termasuklah Ali XPDC.

Pun begitu, bukan hanya tiga orang seniman ini sahaja yang mendapat perhatian YADIM, namun terdapat beberapa orang lain seperti Alina Hassan dan juga Man Kidal selepas ini.

Bagi seniman terkenal tanah air iaitu Mohd Zaki Mansur atau lebih dikenali sebagai To’Ki, beliau juga terkesan ekoran penularan jangkitan yang sedang kita alami sekarang ini. Baginya, agak sukar untuk mencari pendapatan daripada sumber lain kerana berkarya adalah kerja yang dibuatnya sejak dahulu.

“Sapa yang mahu begini..

Saya memang kerja buat lagu, jadi susah kalau hendak tukar kerja”

Beliau juga turut menerima sumbangan barangan makanan dan wang tunai menerusi kunjungan YADIM semalam. Tambahnya lagi, beliau kekal positif dan percaya masih lagi boleh menghasilkan lagu dan meneruskan kerjayanya di dalam bidang seni ini.

Kredit: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia – Yadim

Selain Ali XPDC dan To’Ki, pihak YADIM juga turut mengunjungi Pak Dinie Juri semalam untuk menyampaikan sumbangan wang tunai dan juga barangan makanan di kediamannya. Kelibat Dinie Juri bukanlah asing di dalam industri seni kerana beliau sememangnya terkenal sebagai penulis lirik, pelakon, kartunis dan sebagainya yang pernah gah pada suatu ketika dahulu.

Walau bagaimanapun, penularan jangkitan dan juga diserang penyakit mata pada sebelum ini telah mengubah kehidupan beliau sehingga menjejaskan pendapatannya. Tambah Dinie, beliau menegaskan bahawa tidak mahu terus kekal sebagai asnaf, malah ingin bangkit berdikari untuk meneruskan hidupnya.

Kredit: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia – Yadim

Nasib setiap orang adalah tidak sama, ada yang diberikan rezeki lebih oleh Allah, ada yang diuji saat pandemik, namun setiap apa yang berlaku perlulah dihadapi dengan penuh kesyukuran. Oleh itu, bantuan atau sumbangan daripada pihak anda menerusi YADIM sangatlah digalakkan bagi meringankan beban golongan-golongan yang terjejas.

Sama-sama menyumbang menerusi YADIM

YADIM menyantuni semua tanpa mengira latar belakang mereka. Bantu YADIM untuk menyantuni semua lapisan masyarakat. Orang ramai boleh menyumbang kepada YADIM menerusi dua cara mudah.

Pertama, layari laman web YADIM dan klik di ruangan ‘Sumbangan Dana’ di halaman utama. Seterusnya ikuti panduan yang diberikan, atau hulurkan sumbangan anda ke akaun Tabung Infaq YADIM (566010625428 – Maybank Berhad).

Sumbangan daripada pihak tuan puan juga layan untuk mendapat potongan cukai.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh melayari Laman Web YADIM dan juga Facebook YADIM.

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa