Siakap Keli
Gambar: Indo Zone

Lelaki Dipenjara 8 Tahun, Didapati Bersalah Bunuh Lelaki Yang Memperkosa Isterinya

Hakim mahkamah daerah Kota Lubuklinggau, Indonesia memutuskan untuk menjatuhkan hukuman penjara selama lapan tahun terhadap seorang lelaki berusia 21 tahun yang didakwa atas kesalahan membunuh.

Perbicaraan tersebut diketuai oleh Ketua Hakim Mahkamah Daerah Lubuklinggau, Yopy Wijaya bersama Hakim Anggota, Verdia Martin dan Amir Ferri Irawan.

Keputusan itu dibuat selepas lelaki tersebut didapati bersalah menikam seorang lelaki yang memperkosa isterinya. Difahamkan bahawa keputusan mahkamah itu adalah yang paling minimum daripada tuntutan pihak pendakwa yang mahukan hukuman penjara 12 tahun dikenakan ke atasnya.

Peguam kepada lelaki itu dilaporkan masih sedang berbincang sama ada untuk membuat rayuan mahu pun tidak.

Terdahulu, kes penganiayaan ini dilaporkan berlaku pada 28 Mac 2021 yang lalu. Pada ketika itu, lelaki tersebut mendapat tahu dari isterinya bahawa seorang lelaki yang berusia 34 tahun telah memperkosa isterinya itu.

Berang dengan berita itu, lelaki tersebut terus keluar mencari pelaku untuk mendapatkan kebenaran berkenaan hal itu. Ketika lelaki itu ternampak pelaku lalu dengan menaiki motor, dia pun berusaha memberhentikannya.

Namun begitu, permintaan lelaki tersebut supaya pelaku itu memberhentikan motosikalnya tidak diendahkan. Lelaki tersebut kemudiannya terus membaling kayu ke arah pelaku itu yang membuatkannya terjatuh.

Selepas itu, lelaki tersebut terus menikam pelaku. Pelaku itu sempat berlawan dan bergelut dengan lelaki berkenaan sebelum dileraikan oleh orang ramai.

Kerana mengalami luka akibat tikaman, pelaku terus dibawa ke klinik bagi mendapatkan rawatan sebelum dilaporkan meninggal dunia.

“Pada pendapat kami, akta ini tidak sesuai digunakan kerana kes ini lebih kepada penganiayaan, bukan pembunuhan yang dirancang. Peguam kami mahukan dia dibebaskan kerana dia tidak membunuh tetapi menganiaya,”kata Burmasyahtia.

Ketika ini, lelaki yang merupakan penduduk Dusun IV dari Desa Petrans Jaya, Kabupaten Muara Kelingi, Kabupaten Musi Rawas, masih sedang ditahan di penjara.

Sumber: Indo Zone

Aqmal Ezany

I write what is right