Terima vaksin atau terpaksa kehilangan kerja, itu pilihan yang diberikan oleh kerajaan New Zealand kepada ratusan ribu kakitangan pendidikan dan kesihatan yang terdiri daripada guru, ahli farmasi dan jururawat sebagai langkah untuk meningkatkan kadar vaksinasi di negara itu.
Menurut New Zealand Herald, tarikh akhir dua dos untuk kakitangan yang mempunyai masalah kesihatan dan kecacatan berisiko tinggi adalah pada 1 Disember tahun ini dan untuk sektor pendidikan adalah pada 1 Januari tahun depan.
Menteri Respons COVID-19 dan Menteri Pendidikan, Chris Hipkins baru-baru ini mengumumkan keputusan Kabinet mengenai mandatori berkaitan vaksinasi itu dan mengatakan bahawa ia bukan keputusan yang mudah.
“Ini bukan keputusan yang mudah tetapi kami memerlukan orang-orang yang bekerja dengan masyarakat yang rentan yang belum diberi vaksin untuk mengambil langkah tambahan ini.
“Pengecualian mungkin dilakukan dalam beberapa keadaan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Ashley Bloomfield mengatakan bahawa dia memiliki keyakinan yang tinggi bahawa kakitangan kesihatan akan diberi vaksin, terutama mereka yang berada di kawasan terpencil.
Tambahnya, dia belum memikirkan proses pengecualian dan akan mempertimbangkan setiap kes secara individu.
Walaupun ramai yang menyokong usaha ini namun ada juga beberapa pihak yang tidak bersetuju.
Difahamkan, lebih dari 5000 orang telah menandatangani petisyen yang meminta agar langkah mewajibkan vaksinasi itu tidak diteruskan dan ia telahpun dihantar kepada Parlimen.
Sumber: New Zealand Herald