Siakap Keli

Dijangka Lebih 50,000 Pelancong Akan Kunjungi Pulau Pinang Hujung Minggu Ini

Sejak pengumuman kebenaran rentas negeri dibenarkan pada isnin lepas, ramai orang ‘melepaskan geram’ dengan melancong ke sana-sini. Seperti sudah menjadi destinasi wajib para pelancong, Pulau Pinang telah menjadi sasaran ramai orang untuk bercuti.

Pulau Pinang sememangnya terkenal sebagai pusat pelancongan yang menarik oleh para pelancong dari dalam mahupun luar negara. Bukan sahaja tempat pelancongan, juadah makanan di negeri itu juga sangat diminati ramai.

Terbaharu, polis Pulau Pinang menjangkakan bakal berlaku peningkatan aliran trafik bermula esok. Jangkaan ini berlaku susulan kemasukan perantau dan pelancong ke negeri itu pada hujung minggu ini.

Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Fisol Salleh berkata, aliran trafik di Pulau Pinang masih lagi terkawal buat masa ini. Namun begitu, pihaknya telah bersedia dengan sebarang kemungkinan bahawa penambahan kenderaan pasti akan berlaku kelak. Datuk Fisol juga berkata bahawa mereka telah menambah pasukan rondaan di seluruh kawasan negeri itu.

“Aliran trafik sememangnya dijangka akan meningkat. Oleh disebabkan itu, kami telah mengarahkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik untuk memastikan bahawa mulai malam ini, mereka harus membuat kiraan aliran kenderaan yang masuk ke Pulau Pinang. Saya jangka, aliran trafik mungkin akan bertambah bermula esok petang.” katanya.

Datuk Fisol juga berkata bahawa seramai 2000 anggotanya telah diarahkan untuk bersiap sedia bagi melakukan pemantauan aliran trafik di kawasan tumpuan pelancongan khususnya di kawasan pantai, perkelahan serta kedai makan.

Buat masa ini, terdapat 114 pasukan pematuhan PDRM di negeri itu akan dan dijangka akan ditambah lagi kepada 153 pasukan.

Dijangka lebih 50,000 orang pelancong akan mengunjungi Pulau Pinang pada hujung minggu ini.

Sumber: Astro Awani

Akhmar Ikmal