Seperti yang kita tahu, 998 kawasan di sekitar Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengalami gangguan bekalan air berjadual sejak semalam. Hal ini kerana Air Selangor sedang menjalankan proses penyenggaraan di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1).
Pun begitu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari melalui laman Twitternya memaklumkan, kerja-kerja tersebut telah selesai lebih awal dari tempoh yang sepatutnya.
“Alhamdulillah kerja-kerja tersebut telah selesai dan loji sudah mula beroperasi jam 8.15 malam tadi, 2 jam 45 minit lebih awal dari jadual asal.
“Bekalan air akan diagihkan berperingkat bermula esok,” tulis beliau melalui hantarannya sebentar tadi.
Dalam pada itu, Amirudin turut memuatnaik gambar paip injap berusia 27 tahun yang telah ditukar semasa proses penyenggaraan untuk mengelak kebocoran dan gangguan bekalan air kepada pengguna pada masa akan datang.
Saya telah turun meninjau kerja-kerja penyelenggaraan di Loji Rawatan Air SSP 1. Alhamdulillah kerja-kerja tersebut telah selesai dan loji sudah mula beroperasi jam 8.15 mlm tadi, 2 jam 45 minit lebih awal dari jadual asal. Bekalan air akan diagihkan berperingkat bermula esok. pic.twitter.com/GWFQzzTMW0
— Amirudin Shari (@AmirudinShari) October 13, 2021
Sumber: Datuk Seri Amirudin Shari