Menteri Kesihatan Malaysia, YB Khairy Jamaluddin memaklumkan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memulakan dos penggalak (booster dose) kepada warga emas berusia 60 tahun dan ke atas dan juga anggota barisan hadapan yang telah menerima dos lengkap sekurang-kurangnya 6 bulan yang lalu.
Menurutnya, individu yang layak akan dimaklumkan melalui aplikasi MySejahtera manakala bagi individu yang tidak mempunyai aplikasi itu, pemakluman akan dibuat melalui pesanan ringkas atau panggilan telefon oleh Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
“Pemberian dos penggalak dilakukan secara sukarela dan percuma di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
“Objektif pemberian dos penggalak vaksin COVID-19 ialah untuk memastikan tempoh perlindungan yang optima diperolehi oleh penerima vaksin COVID-19 di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam.
Tambahnya lagi, dos penggalak merupakan dos tambahan yang perlu diberikan kepada seseorang yang sebelumnya mendapat perlindungan yang mencukupi selepas vaksinasi lengkap namun perlindungan tersebut menurun dari semasa ke semasa (waning immunity).
Pemberian dos ini akan melibatkan penerima dos lengkap vaksin Comirnaty iaitu keluaran syarikat Pfizer BioNTech dahulu di mana individu tersebut akan menerima vaksin yang sama (homologous vaccination) iaitu vaksin Comirnaty. Ini memandangkan hanya vaksin Comirnaty yang telah mendapat kelulusan bersyarat oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada 8 Oktober 2021.
Dalam pada itu, KKM juga merancang untuk memulakan kajian pemberian dos penggalak bagi jenis vaksin yang berlainan (heterologous vaccination).
Kajian tersebut dikatakan akan dilaksanakan di Sarawak pada bulan November 2021 dan akan diperluaskan ke negeri lain selepas mendapat kelulusan oleh Jawatankuasa Etika Penyelidikan Perubatan (MREC).
“Pemberian dos tambahan pula akan diberi kepada individu yang mempunyai imuniti rendah (immunocompromised) seperti pesakit kanser, penerima organ, pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan dialisis dan sebagainya di mana pemberian dos lengkap tidak cukup untuk memberikan perlindungan optimum kepada mereka. Dos tambahan ini diberikan sekurang-kurangnya 28 hari selepas penerimaan dos lengkap vaksin COVID-19,” ujar Khairy lagi.
Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia