Siakap Keli

(Video) Kreatif, Lelaki Cipta Mesin Bancuh Konkrit ‘DIY’ Guna Bahan Terbuang, Kos Tak Sampai RM50

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Bagi mereka yang memiliki daya kreativiti yang tinggi, semua benda yang ada di sekeliling pasti boleh dijadikan sesuatu yang baharu. Ini termasuklah idea mencipta sesuatu hanya menggunakan bahan-bahan terbuang sahaja.

Baru-baru ini, seorang warga group Facebook Tukang Apa Hari Ini (TAHI), Hilmie Brothers berkongsi hasil pertukangannya yang berjaya mencipta sebuah mesin pengadun bancuhan konkrit secara ‘DIY’.

Berdasarkan perkongsiannya ke TAHI, Hilmie menjelaskan bahawa 90 peratus bahan-bahan yang digunakan bagi mereka mesin tersebut adalah daripada pelbagai jenis bahan terbuang yang ada di sekeliling rumah.

Antara bahan terbuang digunakan ialah tong dram sebagai ruang pengadun bancuhan, besi katil sebagai kerangka badan mesin, dua buah motor mesin basuh sebagai ‘enjin’ serta besi-besi buruk untuk peralatan bahagian lain.

Manakala 10 peratus lagi menggunakan bahan-bahan baharu yang perlu dibeli seperti bearing, skru dan roda troli sebagai roda penggeraknya. Kos yang dikeluarkan hanyalah sekitar RM50 sahaja.

Difahamkan, mesin bancuhan konkrit tersebut dibuat semasa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 tahun lepas dan hanya mengambil masa selama dua minggu sahaja untuk disiapkan.

Bagi ruang pengadun konkrit yang dibuat menggunakan tong dram itu, kapasiti simen yang mampu dibancuh untuk sekali bancuhan adalah kira-kira 25 kilogram atau separuh daripada sekampit beg simen.

Kata Hilmie, kelebihan menggunakan mesin ini adalah mampu memudahkan lagi kerja-kerja bancuhan simen seakan-akan menggunakan mesin pengadun konkrit yang sebenar.

*sila klik pada gambar untuk menonton video.

Sumber: Hilmie Brothers melalui Tukang Apa Hari Ini

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'