Sekumpulan doktor di Mesir terkejut apabila ‘menemui’ sebuah telefon bimbit melalui imbasan X-ray abdomen seorang pesakit. Lelaki berusia 33 tahun itu sebelumnya datang ke hospital mengadu sakit pada bahagian perut.
Menurut laporan Mirror, lelaki berkenaan mengaku bahawa telefon bimbit jenis Nokia 3310 itu telah ditelannya sejak enam bulan lalu. Namun dia malu untuk meminta bantuan ketika itu dan berharap telefon tersebut keluar dari badannya secara semula jadi.

Pun begitu, telefon bimbit tersebut telah menyekat laluan pencernaannya selama setengah tahun dan berisiko mengakibatkan kecederaan serius.
Lelaki berkenaan menjalani operasi pembedahan serta merta di Hospital Universiti Aswan. Setakat ini, keadaan kesihatan lelaki tersebut tidak dapat dipastikan, namun dia dipercayai telah pulih sepenuhnya, menurut laporan Mirror.
Sebab kenapa lelaki tersebut menelan telefon bimbit berkenaan masih menjadi tanda tanya. Namun menurut Ketua Lembaga Pengarah Universiti Aswan, ini merupakan kali pertama pihaknya menangani kes seperti itu.
Sumber: Mirror