Siakap Keli
Gambar: Dinie Roslee

“Rindu Yang Tiada Penghujung”, Anak Sebak Kemas Baju Arwah Mak Baru 6 Bulan ‘Pergi’

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Kehilangan sosok seorang ibu pastinya tidak mudah bagi insan bergelar anak. Bila ibu yang sejak dari kecil membesarkan kita ‘pergi’ buat selamanya, kehilangan ini sudah pasti menjadi pengalaman paling sukar dalam hidup.

Sama juga dengan lelaki ini yang sudah enam bulan kehilangan ibu tercinta. Tak dapat ditanggung rindu pada sang ibu bila melihat baju-baju arwah walaupun sudah setengah tahun arwah ibunya meninggal dunia.

Momen mengharukan ini turut dirakam oleh isteri lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Dinie Roslee. Video tersebut telah diunggah di laman TikTok dan Facebook sehingga mengundang sebak warga net.

“Selepas enam bulan mak pergi, harini baru ada masa nak kemas-kemas baju arwah mak.

“Pagi tadi tiba-tiba dia (suami) masuk bilik menangis.

“Tak lama tu Dinie pergi rumah mak, tengok dia tak ada.

“Cari-cari rupanya menangis kat bucu bilik mak sambil kemas-kemas baju mak,” tulis Dinie dalam hantaran di laman Facebooknya.

Menurut Dinie, baju-baju arwah ibu mertuanya dikemaskan setelah enam bulan pemergian wanita tersebut untuk disedekahkan.

Dalam video pendek tersebut, dapat dilihat suaminya mengalirkan air mata bila pandangannya tertumpu pada telekung kegemaran arwah yang dia sarungkan setiap hari, di akhir hayat sang ibu.

Dinie ketika dihubungi berkata, arwah ibu mertua meninggal dunia setelah bertarung nyawa melawan penyakit barah payudara yang dihidapinya.

“Part telekung tu.. sedihnya”

Menjengah ke ruangan komen, warga net turut berasa sebak melihat lelaki tersebut mengalirkan air mata kerana terlalu merindui sang ibu.

Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmatNya dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman. Al-Fatihah.

Sumber: Dinie Roslee

Eyla Azri