Seorang peninju dilaporkan berada dalam keadaan kritikal setelah berlawan dengan seekor beruang yang telah membunuh rakannya, lapor Daily Mail.
Ketika kejadian, Ilya Medvedev, 23, sedang dalam perjalanan untuk memancing di Sungai Irtysh di Rusia dengan rakannya, Vyacheslav ‘Slava’ Dudnik, 48, sebelum diserang oleh beruang tersebut.
Difahamkan, Dudnik telah meninggal dunia serta merta di tempat kejadian selepas diserang haiwan itu.
Melihat keadaan itu, Ilya yang pernah mengambil bahagian dalam kejuaraan Rusia dan pertandingan kebangsaan yang lain dikatakan telah berusaha menembak beruang tersebut tetapi pistol yang diguna olehnya telah dijatuhkan oleh haiwan itu.

Dia seterusnya bertarung menggunakan pisau dan menusuk beruang itu beberapa kali sehingga mati. Bagaimanapun, dia juga mengalami kecederaan yang parah kerana bergelut dengan beruang yang ganas itu.
Seorang pemancing, Denis Chebotar, yang menyaksikan kejadian itu mengatakan bahawa dia pada awalnya terdengar jeritan sebelum melihat Ilya yang sedang menembak beruang itu.
“Ilya melawan beruang itu dengan menggunakan pisau, dia sempat menembak dua kali,” katanya.
Sementara itu, peninju tersebut kini berada di Unit Rawatan Rapi dengan kesan luka di bahagian kepala dan badan.
Penyiasat jenayah telah memulakan siasatan mengenai serangan beruang itu.
Sumber: Daily Mail