SEREMBAN, 26 Okt (Bernama) — Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan merampas pelbagai jenis ubat serta kosmetik, termasuk produk tradisional yang didapati tidak berdaftar atau tidak bernotifikasi bernilai kira-kira RM217,461 dalam serbuan di dua premis kediaman dan sebuah kenderaan di daerah ini, Khamis lepas.
Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Negeri Sembilan Dr Mohamad Faid Abd Rashid berkata operasi dijalankan oleh Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) Negeri Sembilan dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan (IPKNS).
Beliau berkata susulan serbuan, 90 jenis ubat tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi ditemukan, dan menurutnya individu atau syarikat yang didapati terlibat menjual ubat serta kosmetik berkenaan akan disiasat di bawah Akta Jualan Dadah 1952.
“Hasil maklumat diperolehi oleh CPF Negeri Sembilan mendapati tiga lokasi serbuan itu dipercayai mempunyai rangkaian pasaran melibatkan negeri ini, Pahang dan Johor,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya jika disabitkan kesalahan, individu terlibat boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan berikutnya, manakala syarikat disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.
Dr Mohd Faid Abd Rashid seterusnya menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati sewaktu membeli produk kesihatan serta kosmetik, dan sentiasa pastikan produk yang dibeli mematuhi keperluan undang-undang yang dikuatkuasakan.
Katanya pengguna boleh menyemak ketulenan label hologram FarmaTagTM pada produk dengan menggunakan aplikasi Farmachecker daripada Google Playstore, AppStore dan juga Huawei AppGallery.
Beliau berkata semakan kesahihan nombor pendaftaran produk atau notifikasi kosmetik boleh dilakukan dengan melayari https://www.npra.gov.my, menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400 atau memuat turun aplikasi NPRA Product Status secara percuma melalui Google Playstore, AppStore dan juga Huawei AppGallery.
Sumber: BERNAMA