Kucing lawan ular tedung, agak-agaknya siapa akan menang? Tentulah ular, kan. Tetapi tidak dalam kisah ini apabila 5 ‘Musketeers’ Bulus ini berjaya mengalahkan seekor ular tedung baru-baru ini.
5 ekor kucing yang dikenali sebagai Dobot, Joy, Kochi, Marble dan Tart ini telah berjaya mengepung dan ‘mengalahkan’ ular tedung yang memasuki rumah tuannya.
Menerusi perkongsian di laman Facebook Lyn Azlina, dia menceritakan mengenai kehebatan anak-anak kucing kesayangannya yang berjaya mengepung seekor ular tedung di rumahnya.



Menurutnya lagi, kelima-lima ekor kucing tersebut sangat nakal dan suka menyepahkan rumahnya. Pernah koyakkan langsirnya, pecahkan pasu dan lain-lain sehinggakan dia ingin menyediakan satu bilik khas untuk kucing-kucingnya.
Tetapi, selepas kejadian itu, Puan Azlina berasa kagum dengan ‘anak-anaknya’ walaupun sangat nakal dan aktif.
Kejadian ini berlaku semasa dia dan suaminya baru sahaja pulang dari pasar dan berasa pelik kenapa kucing-kucingnya tidak menunggu di depan pintu seperti biasa.
“Masa di dapur, suami panggil saya sebab dengar sesuatu yang pelik kerana penglihatan suami saya tak berapa jelas sebab baru sahaja operate mata. Jadi, dia minta saya tengokkan,” jelas Puan Azlina lagi.
Alangkah terkejutnya pada masa itu, dia mendapati kelima-lima heronya sedang mengepung seekor ular tedung tersebut supaya tidak melingkar ke tempat lain sementara menunggu Angkatan Pertahanan Awam (APM) tiba, kata Puan Azlina.

“Saya terus call 999 sambil tu saya bercakap dengan anak-anak jangan bunuh ular tu. Dan senjata paling kuat pada masa itu adalah doa Nabi Sulaiman.”
Jelasnya, dia membaca doa tersebut dengan kuat sambil pujuk anak-anak kucingnya jangan mengapa-apakan ular itu. Semuanya diserahkan kepada Allah SWT pada masa itu, tambahnya lagi.
Kira-kira dalam 10 minit, pihak APM sampai dan berjaya menangkap ular itu.
“Saya sangat terhutang budi dengan anak-anak saya,” tambahnya lagi.
Perkongsian ini telah mendapat perhatian ramai daripada warganet dan mereka sangat kagum dengan keberanian hero-hero bulus yang sanggup bergadai nyawa memastikan keluarganya terhindar daripada ancaman haiwan yang berbisa.




Sumber : Lyn Azlina