Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
TAWAU, 27 Okt (Bernama) — Seorang buruh ladang warga Indonesia yang sebelum ini menghadapi pertuduhan membunuh suami kekasihnya, hari ini dijatuhi hukuman penjara 16 tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan menyebabkan kematian rakan senegaranya itu.
Hakim Dr Lim Hock Leng menjatuhkan hukuman terhadap lelaki berusia 24 tahun itu selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh juga dikenakan denda.
Tertuduh sebelum ini didakwa atas pertuduhan membunuh mangsa lelaki berusia 35 tahun mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Lim dalam keputusannya berkata walaupun tertuduh mengaku bersalah tetapi mahkamah mengambil kira kecederaan yang banyak dialami si mati.
“Terdapat 41 kesan tikaman pada seluruh anggota badan mangsa termasuk tangan kirinya putus menyebabkannya meninggal dunia,” katanya dan menambah hukuman berat perlu dikenakan ke atas tertuduh sebagai pengajaran kepadanya dan masyarakat.
Berdasarkan pertuduhan pilihan, lelaki tersebut didakwa dengan niat mendatangkan kecederaan kepada mangsa yang menyebabkan kematiannya di sebuah rumah di Kampung Murai, Ladang Kretam, dalam Daerah Kalabakan, antara 11.30 pagi hingga 12 tengah hari pada 4 Mei 2018.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Ali Imran manakala tertuduh diwakili peguam Ram Singh Harban Singh dan Kamaruddin Chinki.
Berdasarkan fakta kes, pada 4 Mei 2018, mangsa mendapati isterinya menjalin hubungan sulit dengan tertuduh di kediaman mereka di sebuah ladang di Kalabakan.
Tertuduh mendakwa mangsa menyerangnya dengan parang terlebih dahulu dipercayai akibat berang sehingga berlaku pergaduhan.
Sumber: Bernama