Siakap Keli
Kredit: Gustiners/Google

Pelajar Dilapor Maut Dipercayai Akibat Dipukul Guru Kerana Tak Buat Kerja Sekolah

Seorang murid tingkatan satu di Alor, Nusa Tenggara Timur dilapor maut dipukul guru, dipercayai gara-gara tidak menyiapkan kerja rumah yang diberikan, lapor Tribunnews.

Menurut laporan Tribun, tragedi pilu tersebut dilapor berlaku pada Sabtu baru-baru ini, kira-kira sekitar pukul 11 tengah hari waktu tempatan.

Difahamkan, guru tersebut pada awalnya meminta kerja rumah yang diberikannya, namun murid malang itu mendakwa ia belum disiapkan.

Akibatnya, guru itu naik berang dan bertindak memukul bahagian atas kepala murid tersebut menggunakan tangan, selain turut menendang punggung dan  menyebat betisnya dengan rotan.

Pukulan daripada guru terbabit menyebabkan murid itu mengalami luka dan bengkak di kawasan leher, punggung dan betis sebelum pulang ke rumah dan mengadu kepada ibu bapanya.

Bagaimanapun keesokannya, murid tersebut mengadu rasa sakitnya masih belum hilang, lantas terpaksa dikejarkan ke Hospital Kalabahi Alor untuk rawatan selanjutnya.

Namun ditakdirkan usianya tidak panjang. Selepas dua hari dirawat, murid malang itu akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Sementara itu, Ketua Balai Polis Alor, Agustinus Christmas berkata, pihaknya menerima kes itu dan mengesahkan berita kematian murid tersebut.

“Mangsa sempat dirawat sejak dua hari lalu di hospital dan akhirnya meninggal dunia pagi tadi (ketika itu) sekitar pukul 10 pagi waktu tempatan,” kata Agustinus.

Dalam masa sama, guru terbabit turut sudah ditahan polis dan siasatan ke atasnya sedang dijalankan, menurut Agustinus lagi.

Sumber: Tribun

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'