Siakap Keli
Gambar: Reddit/NY Post

Bapa Dilapor Tikam ‘Kekasih’ Anak Berulang Kali Sampai Mati, Dakwa Lelaki Itu Jual Anak Gadisnya Kepada Sindiket Seks

Seorang bapa berusia 60 tahun di Spokane, Washington ditahan selepas bertindak membunuh lelaki yang didakwanya pernah menjual anak gadisnya kepada sindiket pemerdagangan seks (dipercayai pelacuran), lapor New York Post.

Bapa tersebut, E (bukan nama sebenar) pada 22 Oktober baru-baru ini ditahan atas tuduhan membunuh lelaki berkenaan, di mana mayatnya dilapor ditemui dalam bonet sebuah kereta terbiar.

Polis berkata, E mendapat tahu bahawa anak perempuannya yang masih di bawah umur telah dijual kepada kumpulan pemerdagangan sek di kawasan Seattle, didakwa oleh teman lelakinya ketika itu, tulis New York Post.

Bagaimanapun E menyedari hal itu dan bergegas menyelamatkan anak gadisnya daripada lelaki berusia 19 tahun itu serta membawanya pulang ke rumah di Spokane, kata polis, memetik New York Post.

Sebulan kemudian, E tekad untuk bertemu dengan lelaki tersebut dengan menaiki sebuah kereta milik rakannya sebelum menculik, mengikat dan membunuhnya

“E kemudiannya menyerang mangsa (lelaki itu) dengan memukulnya di bahagian kepala menggunakan batu blok jenis sinder, kemudian menikamnya berulang kali hingga mati,” jelas kenyataaan polis.

Difahamkan, selepas pembunuhan itu, E meninggalkan kereta tersebut terbiar di tepi jalan bersama mayat lelaki terbabit untuk satu tempoh seketika.

Tidak lama kemudian, tragedi pembunuhan itu akhirnya terbongkar dan disedari penduduk Spokane sendiri apabila mereka mendakwa terhidu bau busuk yang datang dari kereta tersebut.

Menurut laporan, mayat lelaki itu ditemui dalam keadaan pergelangan kaki dan tangan diikat, selain mulut ditampal dengan pita pelekat dan terdapat beberapa kesan tusukan pada badannya.

Selepas penemuan mayat itu dilapor kepada polis, E akhirnya membuka mulut dan mengaku bahawa dialah yang menemui lelaki tersebut sebelum membunuhnya.

Difahamkan, E belum pernah disabit kesalahan sejak kejadian itu sehinggalah dia ditahan di Penjara Spokane baru-baru ini.

Sumber: New York Post

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'