Kira-kira lapan orang dilaporkan maut dalam insiden tembakan di pesta Halloween yang bertemakan Squid Game.
Menurut Ladbible, kejadian tembakan itu didakwa telah dilakukan oleh dua kumpulan samseng di kejiranan Santa Ana Panama pada Jumaat lalu.
Media tempatan melaporkan bahawa lima orang didakwa telah ditembak mati manakala tujuh dilaporkan cedera dan tiga mayat lain dikatakan telah ditemui di tempat pembuangan sampah berhampiran.
Sumber polis pula mengatakan bahawa kejadian itu bermula apabila seorang individu menembak ke arah anggota kumpulan saingan yang dikenali sebagai ‘Los Galacticos’. Berpunca dari itu, mereka dipercayai saling membalas tembakan sehingga menyebabkan beberapa orang meninggal dunia di tempat kejadian.
Sementara itu, dua orang didakwa telah ditahan termasuk abang kepada salah seorang yang terbunuh dalam kejadian tembakan itu.
“Polis mengesyaki bahawa dia menggunakan senjata api untuk mempertahankan abangnya,” kata sumber polis.
Difahamkan, konflik antara kumpulan tersebut mempunyai sejarah yang panjang dan berterusan sehingga terjadinya insiden tembakan pada malam itu.
Bagaimanapun, ia bukanlah kes yang terpencil di Panama kerana sejak beberapa minggu lalu berlakunya kegiatan jenayah di restoran dan premis komersial.
Pihak berkuasa Panama mengaitkan kejadian itu dengan usaha kumpulan-kumpulan tersebut untuk mengawal laluan dadah.
Mereka menganggap bahawa lebih semakin banyak jumlah rampasan, semakin banyak berlakunya jenayah pembunuhan sebagai tindakan balas terhadap barang yang telah dirampas.
Sumber: Ladbible