Seramai lapan orang penonton terbunuh di konsert Travis Scott dan ratusan lagi tercedera dalam satu kekacauan yang berlaku di Festival Astroworld di Texas. Festival tersebut juga telah ditamatkan apabila ramai penonton berhimpit dan naik ke pentas pada Jumaat lalu.
Menurut Daily Mail, Travis Scott ketika itu sedang membuat persembahan di festival yang diadakan di Taman NRG, Houston.
“Salah seorang pengungjung memberitahu bahawa terdapat beberapa individu yang menyuntik pengunjung dengan dadah jenis opioid,” kata Ketua Polis Houston Troy Finner.
Tambah Finner lagi, mangsa dikatakan berumur antara 14 hingga 27 tahun. Melalui siasatan yang dilakukan, mangsa-mangsa tersebut dipercayai telah disuntik dengan dadah tersebut oleh seorang individu ‘gila’.
Polis dan pegawai kecemasan dilihat memberikan bantuan pernafasan (CPR) kepada beberapa orang pengunjung yang terbaring tidak sedarkan diri. Sementara itu, pengunjung lain turut menjerit meminta pertolongan staf disitu.
Travis Scott dikatakan masih meneruskan persembahannya walaupun dalam keadaan getir begitu. Menurut Daily Mail menerusi video di Twitter penonton menjerit supaya konsert tersebut dihentikan.
Scott dikatakan sedih dan terkejut dengan kejadian yang berlaku ketika konsertnya itu. Ketua Bomba Houston Samuel Pena menyarankan agar konsert tersebut dihentikan kerana bilangan kematian mungkin akan meningkat.
Sementara itu, enam dari lapan ahli keluarga mangsa telah dimaklumkan berkenaan kejadian ini.
Sumber: Daily Mail