Sekreteriat Bencana Daerah Bagan Datuk dalam satu kenyataan telah mengenal pasti 21 kawasan di daerah itu yang berdepan dengan risiko banjir akibat fenomena air pasang besar bermula 4 Disember ini, lapor Sinar Harian. Antara kawasan yang dijangkakan terlibat dengan air pasang besar adalah:
- Mukim Hutan Melintang: Tebing Sungai Bernam, Kampung Sungai Manila, Sungai Samak, Kampung Bagan Lalang, Kampung Kota, Hutan Melintang dan Teluk Buluh.
- Mukim Bagan Datuk: Kampung Bagan Ikan, Kampung Bagan Sungai Burung, Kampung Pasang Api, Kampung Bagai Sungai Tiang, Kampung Tebing Rebak, Kampung Tanah Lalang dan Kampung Sungai Dulang.
- Mukim Rungkup: Bagan Pasir Laut, Bagan Lipas, Bagan Sungai Belukang dan Bagan Sungai Tiang.
- Mukim Teluk Bharu: Tapak Semenang, Teluk Bharu dan Tebing Rebak.
Walau bagaimanapun, orang ramai dinasihatkan untuk tidak panik dan sentiasa mengikuti langkah-langkah persediaan menghadapi air pasang yang disediakan oleh Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Setiap tahun, lebih-lebih lagi pada musim tengkujuh pasti akan berlakunya air pasang besar. Bagi penduduk yang tinggal berhampiran dengan kawasan perairan pantai mahupun sungai, perlu mengambil langkah-langkah persediaan awal bagi menghadapi air pasang besar untuk berjaga-jaga.
Berikut merupakan langkah yang disediakan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sebagai persiapan menghadapi air pasang besar, apa yang perlu dibuat dan apa tindakan yang perlu diambil selepas banjir berlaku di kawasan anda.
PERSEDIAAN SEBELUM AIR PASANG BESAR
Jika anda di rumah, anda perlu
- Dapatkan maklumat tentang air pasang di tempat anda.
- Pastikan sistem amaran banjir dan sentiasa dengar hebahan semasa yang disampaikan melalui televisyen, radio dan agensi-agensi kerajaan yang berkenaan.
- Sentiasa periksa lubang air seperti longkang dan saluran najis. Bersihkan halangan dan pastikan ia tertutup rapat agar air banjir tidak masuk melaluinya.
- Pastikan di mana Pusat Pemindahan dan Pusat Bantuan Bencana yang berdekatan dengan tempat anda.
- Sediakan peralatan kecemasan dan juga makanan yang secukupnya.
- Pastikan seluruh keluarga anda mengetahui cara-cara untuk bertindak semasa kecemasan di rumah.
Jika anda ingin melancong ke lokasi yang berpotensi banjir,
- Bagi yang mempunyai bayi, bawa kelengkapan bayi supaya mudah diuruskan ketika air pasang berlaku.
- Simpan nombor telefon klinik, hospital dan orang yang boleh dihubungi ketika kecemasan.
- Bagi pesakit kronik, anda perlu bawa bekalan ubatan yang mencukupi kerana dikhuatiri akan berdepan masalah ketika berada dalam keadaan air pasang besar.
- Sentiasa dapatkan maklumat mengenai taburan hujan seperti laman web Jabatan Meteorologi, Portal Bencana atau Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia.
SEMASA AIR PASANG
Sekiranya mendapat tanda-tanda awal air pasang, anda perlu
- Sentiasa dengan pengumuman melalui radio, televisyen atau mana-mana pihak tertentu.
- Pindahkan perabot atau peralatan-peralatan lain ke tempat yang lebih selamat.
- Simpan dokumen penting di tempat yang selamat atau bawa bersama dalam bekas kalis air.
- Bersedia untuk menutup suis elektrik, injap utama bekalan air dan juga gas.
- Beritahu jiran anda dan bersedia untuk berpindah.
Semasa pemindahan
- Apabila menerima arahan, segeralah berpindah ke pusat-pusat pemindahan yang disediakan. Berpindah awal sebelum banjir meningkat atau pada waktu siang kerana ia lebih mudah dan selamat.
- Ikut laluan yang ditentukan, laluan dekat mungkin terhalang.
Di dalam kenderaan
- Jangan terus mengharungi kawasan banjir, hendaklah berpatah balik ke tempat yang lebih selamat.
- Sekiranya kenderaan anda terhenti, kunci kenderaan dan tinggalkan kenderaan tersebut. Pergi ke tempat yang selamat.
Di dalam rumah
- Dengar pengumuman melalui televisyen, radio atau pihak tertentu.
- Bersedia dengan peralatan kecemasan.
- Jika diarahkan keluar dan berpindah, segera lakukan.
Di luar rumah
- Pergi ke tempat tinggi dan selamat.
- Elakkan dari melalui kawasan banjir, arus deras yang boleh menghanyutkan anda.
- Jangan sengaja bersiar-siar di kawasan banjir sama ada dengan sampan mahupun berjalan kaki.
- Jangan sentuh mana-mana kabel atau wayar yang jatuh.
- Awasi anak-anak anda, jangan biarkan mereka bermain-main di longkang, sungai mahupun lombong.
- Jangan minum air banjir.
SELEPAS AIR PASANG
- Dengar pengumuman melalui radio atau tunggu arahan pihak berkuasa, dan jangan kembali ke rumah sebelum dibenarkan atau sebelum keadaan benar-benar selamat.
- Beri bantuan kepada jiran anda atau orang kurang upaya, seperti orang tua, kanak-kanak dan golongan istimewa.
- Sentiasa periksa rumah anda, lihat tanda-tanda rekahan atau mendapan kerana ianya mungkin tidak selamat.
- Jangan terus memasuki rumah yang dibanjiri air, sentiasa berhati-hati kerana banyak bahaya yang tidak terduga dan tersembunyi.

Oleh itu, sekali lagi diingatkan kepada penduduk di kawasan berkenaan agar sentiasa berhati-hati dan bersedia untuk segala kemungkinan yang berlaku disebabkan fenomena ini.
Sumber: Selangor Gov, Sinar Harian