Sebuah keluarga di Peru mendapati anjing peliharaan mereka jenis Siberia Husky adalah seekor musang Andean. Haiwan peliharaan mereka yang dikatakan anjing itu telah dibeli dengan harga £9.50 daripada seorang penternak di Lima, Peru.
Penjual itu didakwa telah menipu keluarga itu, dan kini haiwan yang dianggap sebagai anjing itu sudah berusia lapan bulan dan telah melakukan keganasan terhadap ayam dan itik, lapor Daily Mail.
Keluarga di Peru yang telah tertipu itu terperanjat apabila mengetahui yang anjing peliharaan mereka itu sebenarnya seekor musang.
Kejadian ini berlaku di Peru, di mana seorang penternak telah menipu sebuah keluarga yang mempunyai anak lelaki dan sangat menginginkan seekor anak anjing. Ibu kepada budak lelaki itu telah membeli anak anjing tersebut di Sol Naciente, Comas di ibu kota Peru.
Penternak itu telah menjual anak musang Andean yang dinamakan dengan nama ‘Run run’ itu kepada budak lelaki tersebut dengan harga £9.50. Budak lelaki itu mula menjaga dan membesarkan ‘Run run’ sebagai haiwan peliharaan kesayangannya.
Apabila ‘Run run’ mula membesar, haiwan tersebut semakin bersikap agresif terhadap keluarga itu. Bapa kepada budak itu yang dilaporkan mula-mula menyedari bahawa haiwan yang disangkakan anak anjing itu ternyata seekor musang dan bukannya anjing berketurunan Siberian Husky.
“Saya perasan bau najis dan air kencing haiwan itu kuat dan tak macam bau najis anjing-anjing biasa” kata ayah budak itu.
Pada 24 Mei lalu, apabila ribut teruk melanda kawasan kediaman mereka, musang itu dikatakan melarikan diri dari rumah mereka. Sejak itu, musang itu kerap dibiarkan berkeliaran di kawasan kejiranan mereka dan selalunya musang tersebut duduk di atas bumbung.

Musang itu telah memakan ayam, itik dan khinzir Guinea tempatan untuk memenuhi kelaparannya.
“Kadang-kadang musang itu makan empat ke lima khinzir dan saya terpaksa membayar harga khinzir yang dimakannya itu kepada tuan khinzir tersebut.” tegas ibu budak itu.
Jiran kepada keluarga tersebut ada memelihara khinzir Guinea dan jirannya itu berkata musang tersebut kerap memakan khinzir-khinzir tersebut.
“Selalu saya jumpa bangkai khinzir saya sahaja iaitu bahagian kepala khinzir dan kulitnya sahaja” kata jiran mereka.
Jiran-jiran turut mengadu bau najis yang sangat kuat yang ditinggalkan oleh musang tersebut berhampiran rumah mereka.
“Saya dah cakap dengan pemilik musang tersebut tentang hal ini” kata jiran keluarga itu.
“Kami semua perlukan bantuan, musang tersebut perlu diambil oleh pihak Jabatan Haiwan Liar” tegas jirannya lagi.
Ibu bapa kepada budak itu telah meminta bantuan pihak berkuasa tempatan untuk membawa musang tersebut ke habitat semula jadinya.
Tetapi pihak berkuasa mendapat kes ini agak sukar untuk diuruskan. Hal ini kerana, terlalu ramai orang yang berada berdekatan dengan musang itu, dan hal ini menyukarkan pihak berkuasa untuk menangkap musang tersebut.
Pihak berkuasa sudah merancang untuk membawa musang tersebut ke Zoo Huachipa.
Sumber: Daily Mail