PUTRAJAYA, 8 November 2021 – Jabatan Perangkaan Malaysia telah mengeluarkan laporan berkaitan Perangkaan Demografi bagi suku tahun ketiga 2021. Mengulas berkaitan laporan tersebut, Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin menyatakan, “Pada suku tahun ketiga 2021, bilangan kematian mencatatkan peningkatan sebanyak 60.5 peratus (65,584 kematian) berbanding suku tahun ketiga 2020 (40,858 kematian). Kematian pada suku tahun ketiga ini merupakan kematian tertinggi semenjak siri masa suku tahunan dikeluarkan pada 2017. Bilangan kematian bagi lelaki dan perempuan adalah direkodkan masing-masing 37,085 dan 28,499 kematian. Pada tempoh yang sama, Selangor mencatatkan bilangan kematian tertinggi iaitu 13,926 kematian (21.2%) manakala Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatatkan bilangan kematian terendah dengan 90 kematian (0.1%)”.
Kematian disebabkan oleh COVID-19 merupakan penyumbang utama kepada peningkatan ketara bilangan kematian pada suku tahun ketiga 2021 yang mana 21,165 (32.3%) direkodkan daripada keseluruhan jumlah kematian pada suku tahun ketiga 2021, iaitu meningkat daripada 15 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2020.
Selangor merekodkan bilangan kematian tertinggi akibat COVID-19 iaitu 7,788 kematian manakala Wilayah Persekutuan Putrajaya merekodkan kematian terendah iaitu hanya 9 kematian. Kematian disebabkan oleh COVID-19 juga turut menunjukkan peningkatan pada suku tahun ketiga 2021 di negara-negara ASEAN seperti Indonesia (ST3/2020: 7,864; ST3/2021: 83,448), Myanmar (ST3/2020: 304; ST3/2021: 14,401), Philippines (ST3/2020: 4,238; ST3/2021: 13,632), Singapore (ST3/2020: 1; ST3/2021: 59) dan Viet Nam (ST3/2020: 35; ST3/2021: 19,220). Trend yang sama juga dicatatkan di negara maju seperti USA (ST3/2020: 79,515; ST3/2021: 95,245), Japan (ST3/2020: 601; ST3/2021: 2,866) dan United Kingdom (ST3/2020: 1,754; ST3/2021: 8,639).
Mengulas lanjut, kelahiran hidup mencatatkan penurunan sebanyak 0.5 peratus (120,147 kelahiran), berbanding suku tahun ketiga 2020 (120,725 kelahiran). Kelahiran bayi lelaki melebihi bayi perempuan iaitu 61,613 kelahiran berbanding bayi perempuan (58,534 kelahiran). Selangor mencatatkan bilangan kelahiran hidup tertinggi iaitu 22,956 kelahiran (19.1%) manakala jumlah kelahiran hidup terendah dicatatkan oleh Wilayah Persekutuan Labuan (430 kelahiran: 0.4%). Penurunan bilangan kelahiran ini adalah selari dengan negara lain seperti di USA, Republic of Korea, United Kingdom, France dan Spain.
Selain itu, beliau juga menyatakan “Berdasarkan data anggaran penduduk semasa, penduduk Malaysia pada suku tahun ketiga 2021 dianggarkan 32.67 juta orang, meningkat 0.2 peratus berbanding suku tahun ketiga 2020 (32.60 juta). Jumlah penduduk ini merangkumi 30.01 juta orang (91.9%) Warganegara dan 2.65 juta orang (8.1%) Bukan Warganegara. Data penduduk ini adalah berasaskan kepada Banci Penduduk dan Perumahan 2010, pertambahan semula jadi kelahiran & kematian dan migrasi bersih. Data ini akan disemak semula setelah hasil dapatan Banci Malaysia 2020 diperoleh”.
Pada suku tahun ketiga 2021, penduduk lelaki (16.77 juta) melebihi penduduk perempuan (15.89 juta). Nisbah jantina penduduk adalah 106 lelaki bagi setiap 100 perempuan. Manakala nisbah jantina penduduk Warganegara dan Bukan Warganegara adalah 102 dan 156 lelaki bagi setiap 100 perempuan.
Penduduk berumur 65 tahun dan lebih (umur tua) meningkat daripada 2.32 juta kepada 2.41 juta bagi tempoh yang sama. Trend ini adalah selari dengan negara-negara maju yang menuju ke arah penuaan penduduk. Penduduk berumur 0-14 tahun (umur muda) menurun daripada 7.57 juta pada suku tahun ketiga 2020 kepada 7.52 juta pada suku tahun ketiga 2021. Manakala, penduduk berumur 15-64 tahun (umur bekerja) meningkat daripada 22.72 juta (suku tahun ketiga 2020) kepada 22.74 juta pada suku tahun ketiga tahun ini.
Tiga negeri yang mencatatkan komposisi penduduk tertinggi pada suku tahun ketiga 2021 ialah Selangor (20.1%) diikuti oleh Sabah (11.7%) dan Johor (11.6%). Sebaliknya, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatatkan komposisi penduduk terendah iaitu 0.3 dan 0.4 peratus.
Aktiviti Semakan Kualiti (QC) dan Penyiasatan Liputan Banci (PES) bagi Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci Malaysia 2020) sedang dilaksanakan sepanjang November dan Disember 2021. Semua penduduk Malaysia diseru untuk memberikan kerjasama dalam aktiviti yang dijalankan Banci Malaysia 2020 kerana “Data Anda Masa Depan Kita”. Sila layari portal Banci Malaysia 2020 di www.mycensus.gov.my atau media sosial @MyCensus2020 untuk maklumat lanjut.
Kerajaan Malaysia telah mengisytiharkan Hari Statistik Negara (MyStats Day) pada 20 Oktober setiap tahun. Pengisytiharan ini telah mengiktiraf sumbangan ahli statistik dan profesion statistik di negara ini. Hari Statistik Negara ini juga boleh diraikan oleh agensi pengeluar, pembekal dan pengguna statistik serta pelbagai lapisan komuniti yang terdiri daripada agensi kerajaan, penyelidik, universiti dan sekolah serta masyarakat umum. Tema sambutan Hari Statistik Negara tahun 2021 ialah “Connecting The World With Data We Can Trust”.