Siakap Keli
Gambar Via BBC

Sebabkan Kelewatan 1 Minit, Pemandu ‘Train’ Dilapor Tuntut Ganti Rugi ‘Derita Mental’ Lepas Majikan Potong Gaji RM2

Seorang pemandu kereta api di Jepun dilaporkan telah menyaman majikannya selepas gajinya dipotong sebanyak 56 yen (RM2.05) kerana telah menyebabkan kelewatan selama satu minit.

Memetik laporan BBC, syarikat kereta api itu telah mendenda pemandu berkenaan selepas kejadian tersebut yang berlaku pada Jun 2020.

Ketika itu, pemandu tersebut dijadualkan untuk memandu kereta api ke stesen Okayama di selatan negara itu, tetapi telah tiba di platform yang salah. Dia bergegas semula ke platform yang betul ketika menyedari kesilapannya.

Pertukaran shift dengan pemandu yang bertugas sebelumnya telah tertangguh selama dua minit, menyebabkan kereta api yang dipandunya lewat berlepas selama satu minit.

Laman berita Jepun, Soranews24 melaporkan bahawa pemandu itu telah membawa kes tersebut ke mahkamah dan menuntut sebanyak 2.2 juta yen (RM80,590) sebagai ganti rugi untuk penderitaan mental yang dialaminya disebabkan oleh pengalaman pahit itu.

Difahamkan, syarikat berkenaan pada awalnya ingin melakukan pemotongan gaji sebanyak 85 yen (RM3.11), tetapi kemudian bersetuju untuk mengurangkannya kepada 56 yen selepas pemandu itu membawa kes tersebut ke Pejabat Pemeriksaan Standard Buruh Okayama.

Tidak berpuas hati dengan tindakan itu, pemandu terbabit mengatakan bahawa kelewatan yang berlaku itu tidak menyebabkan gangguan sebenar kepada jadual waktu berlepas dan penumpang kerana kereta api tersebut kosong semasa kejadian.

Bagaimanapun, syarikat itu menggunakan prinsip ‘tiada kerja, tiada gaji’, yang bermaksud mereka tidak akan ‘memberi muka’ kepada pekerja yang lewat atau tidak hadir tanpa sebab yang munasabah.

Sumber: BBC

Sofea

Iqra'.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.