Siakap Keli
Gambar via Instagram

Kucing 4 Telinga Jadi ‘Instafamous’, Raih 36.3 Ribu ‘Followers’ Di Instagram Dalam Masa 3 Minggu

Dilahirkan dengan empat telinga, kucing unik yang dipanggil Midas kini meraih 36.3 ribu pengikut di Instagram, setelah pemiliknya mencipta akaun untuk kucing berkenaan tiga minggu lalu.

Selain keunikan pada telinganya, Midas turut mendapat tempat di hati warga net seluruh dunia termasuk Brazil, Iran dan United Kingdom kerana tompok putih berbentuk hati di bahagian perutnya.

Menurut laporan Daily Mail, Midas dimiliki oleh seorang wanita warga Turki yang dikenali sebagai Canis Dosemeci yang mengambil kucing baka Russian Blue itu daripada rakannya untuk dipelihara. Ibu Midas yang merupakan seekor kucing jalanan melahirkan Midas bersama enam lagi adik-beradiknya di taman milik rakan Canis.

Anak kucing yang baru berusia empat bulan itu memiliki dua pasang telinga, di mana sepasang telinganya terlihat normal seperti kucing pada kebiasaannya, manakala sepasang lagi bersaiz lebih kecil dan agak terjengul ke depan.

Walaupun keadaan Midas agak berlainan dengan kucing lain, namun menurut pemiliknya, Midas telah diperiksa oleh veterinar dan disahkan boleh mendengar seperti biasa. Menurut Canis, kucing kelabu miliknya itu kelihatan sihat dan dia merancang untuk memeriksa sama ada Midas mempunyai mutasi genetik beberapa bulan lagi.

Tambahnya, Midas adalah kucing yang sangat lincah tetapi manja. Selain suka tidur di bahu atau di dakapan Canis, Midas turut manja dengan dua ekor anjing Labrador miliknya.

Sumber: Daily Mail

Eyla Azri