Siakap Keli

Perangkaan Sebab Kematian, Malaysia 2021

PUTRAJAYA, 16 NOVEMBER 2021 – Jabatan Perangkaan Malaysia pada hari ini telah mengeluarkan laporan Perangkaan Sebab Kematian, Malaysia, 2021 yang membentangkan statistik sebab kematian di Malaysia bagi tahun 2020 mengikut ciri-ciri demografi di peringkat nasional, negeri dan daerah pentadbiran. Statistik ini merupakan input penting bagi penggubalan polisi dan perancangan program berkaitan bidang kesihatan serta sumber rujukan kepada penyelidik dan akademik. Adalah penting untuk mengetahui punca kematian dalam kalangan penduduk Malaysia bagi membantu memperbaiki gaya hidup pada masa hadapan dan dapat membantu menilai keberkesanan sistem kesihatan Malaysia serta peruntukan sumber secara langsung ke kawasan dan golongan sasaran.

Mengulas terhadap laporan tersebut, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia berkata, “Sebanyak 166,507 kematian direkodkan pada 2020 yang mana 109,155 (65.6%) adalah sebab kematian yang disahkan secara perubatan dan 57,352 (34.4%) adalah sebab kematian yang tidak disahkan secara perubatan. Ischaemic heart diseases kekal sebagai sebab kematian utama di Malaysia dengan 18,515 kematian atau 17.0 peratus daripada jumlah kematian yang disahkan secara perubatan. Ianya menjadi sebab kematian utama di Malaysia lebih dua dekad lalu yang mana telah merekodkan peningkatan daripada 11.6 peratus pada 2000 kepada 17.0 peratus pada 2020. Sebanyak 12,707 (68.6%) kematian disebabkan oleh Ischaemic heart diseases adalah dalam kalangan lelaki, manakala perempuan adalah 5,808 (31.4%). Ischaemic heart diseases merupakan sebab kematian utama bagi semua kumpulan etnik utama di Malaysia yang mana etnik Bumiputera (16.6%), Cina (16.0%) dan India (22.8%). Di peringkat negara ASEAN, Ischaemic heart diseases juga merupakan sebab kematian utama bagi negara Singapore, Thailand dan Philippines. Trend yang sama juga turut dicatatkan di negara maju seperti USA, Japan, United Kingdom dan Australia”.

Menurut Ketua Perangkawan, amalan gaya hidup dan pengambilan pemakanan yang tidak sihat adalah antara penyumbang kepada kematian disebabkan Ischaemic heart diseases pada masa kini. Ini disokong oleh kenyataan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, iaitu Malaysia dikategorikan sebagai bukan negara sihat berdasarkan kesedaran aspek kesihatan dalam kalangan rakyat yang masih berada di tahap rendah yang mana kadar pesakit jantung dan obesiti yang agak tinggi. Dapatan daripada Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Mobiditi 2019 (NHMS), menunjukkan kadar kandungan gula, tekanan darah dan kolesterol yang tinggi adalah faktor risiko utama bagi penyakit kardiovaskular seperti strok dan penyakit jantung.

Selain itu, Pneumonia mencatatkan sebab kematian kedua tertinggi di negara ini dengan 11.4 peratus diikuti Cerebrovascular diseases (8.3%), Transport accidents (3.8%) dan Malignant neoplasm of trachea, bronchus and lung (2.9%). Selain daripada lima sebab kematian utama, statistik juga menunjukkan bahawa kematian yang disebabkan oleh Cancer turut meningkat sejak tahun 2000 dengan 11.6 peratus pada tahun 2000 kepada 15.5 peratus pada 2020.

Kematian disebabkan oleh COVID-19 merupakan sebab kematian baharu yang dilaporkan pada tahun 2020 iaitu sebanyak 471 kematian atau 0.3 peratus daripada 166,507 kematian. Sabah merekodkan bilangan kematian tertinggi akibat COVID-19 iaitu 265 kematian manakala Terengganu merekodkan kematian terendah iaitu hanya satu kematian. Di peringkat negara ASEAN, tiga negara yang mencatatkan kematian disebabkan oleh COVID-19 tertinggi (seperti pada 31 Oktober 2021) adalah Indonesia (22,138 kematian), Philippines (9,244 kematian) dan Myanmar (2,682 kematian). Di peringkat negara maju, tiga negara yang mencatatkan kematian disebabkan oleh COVID-19 tertinggi adalah USA (351,754 kematian), United Kingdom (73,622 kematian) dan Canada (15,762 kematian).

Mengulas lanjut, Ischaemic heart diseases juga merupakan sebab kematian utama di 92 daerah pentadbiran dan peratusan tertinggi dicatatkan di daerah Kampar, Perak dengan 33.3 peratus. Pneumonia merupakan sebab kematian utama di 32 daerah pentadbiran dengan peratusan tertinggi dicatatkan oleh Pakan, Sabah (19.9%). Selain itu, Cerebrovascular diseases direkodkan sebagai sebab kematian utama di 14 daerah, manakala Hypertensive diseases di empat daerah dan Chronic lower respiratory diseases di satu daerah.

Dari segi kumpulan umur, sebab kematian utama bagi yang berumur 0-14 tahun dan 15-40 tahun adalah Transport accident masing-masing pada kadar 3.0 peratus dan 16.8 peratus. Selain itu, Ischaemic heart diseases merupakan sebab kematian utama bagi kumpulan umur 41-59 tahun (20.0%) dan 60 tahun ke atas (18.0%).

Ucapan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh Penduduk Malaysia termasuk Bukan Warganegara yang telah memberikan kerjasama dalam menjayakan Banci Malaysia 2020. Bagi mereka yang masih belum berkesempatan mengisi borang soal selidik bancian, sila hubungi DOSM ditalian 1-800-88-7720 untuk maklumat lanjut.

Siti Fatimah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.