Siakap Keli
Gambar via Al-Qastal

(Video) Lelaki Palestin Menangis Tengok Rumah Dirobohkan Atas Perintah Pihak Berkuasa Israel

Setiap insan pasti mengimpikan rumah yang selesa dan boleh didiami bersama keluarga. Rumah juga menyimpan banyak kenangan bermakna bersama keluarga yang tak mungkin dilupakan.

Namun semua kenangan itu direnggut sekelip mata sahaja dari lelaki warga Palestin yang dikenali sebagai Iyad Burqan ini. Luluh hatinya bila melihat rumah yang didiaminya bersama 10 orang ahli keluarga, termasuk seorang anak yang sakit dirobohkan atas arahan pihak berkuasa Israel.

Momen memilukan ini sempat terakam kamera dan dimuatnaik di platform media sosial oleh media tempatan. Video tersebut mendapat sorotan warga net dan telah ditonton sebanyak 4.6 ribu kali di laman Twitter setakat ini.

Dalam video pendek itu, Burqan dilihat tidak dapat menyekat air mata apabila hanya mampu melihat rumah yang selama ini dibangunkannya untuk keluarga dimusnahkan oleh jengkaut di depan matanya sendiri.

Menurut laporan Al-Qastal, rumah yang didiami Burqan dirobohkan kerana disabit denda berat oleh pihak Israel. Keluarga Burqan merupakan salah satu keluarga yang mendiami kawasan kejiranan Palestin, Ras al-Amoud yang terletak di wilayah Timur Baitulmaqdis.

Sumber: Al-Qastal

Eyla Azri