Pastinya akan timbul satu perasaan yang bangga serta teruja apabila nama sendiri ‘dilambung tinggi’ di Dewan Rakyat oleh menteri terkenal.
Itulah yang terjadi kepada syarikat RichWorks International Sdn. Bhd apabila nama mereka telah disebut oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun di persidangan Dewan Rakyat pada 16 November lalu.
Bukan mudah untuk mendapat publisiti percuma sebegitu walaupun tidak sampai seminit nama dipetik. Jadi, perasaan terasa seakan glamor serta teruja itu tidak hairanlah pastinya akan timbul.
Menurut Ketua Pegawai Perniagaan RichWorks, Radz Mohd, pihaknya begitu tersentuh dengan tindakan dan bahasa tubuh menteri itu.
“Sesuatu yang kami tak pernah jangkakan apabila menteri yang bersidang di Dewan Rakyat memetik dan memuji RichWorks.
“Kami sangat merendah diri dan teruja dipilih sebagai rakan kolaborasi kerana kemampuan dan kredibiliti yang dizahirkan selama ini melahirkan ribuan golongan usahawan dan jutawan dari ‘zero’ hingga berjaya. Pujian itu bukanlah ruang untuk mendabik dada.
“Tapi ia jadi suntikan semangat untuk terus melakukan apa yang sentiasa diperjuangkan sejak 2008. Ia sekali gus mendokong aspirasi Pengasas dan Mentor Usahawan, Datuk Wira Dr Azizan Osman dalam memberi manfaat kepada lebih ramai orang di luar sana,” katanya.
RichWorks difahamkan mendapat pengiktirafan daripada menteri tersebut kerana telah bertindak sebagai syarikat bimbingan dan latihan keusahawanan terbesar negara sebagai penganjur bagi program Wanita Bangkit Berniaga di bawah inisiatif Wanita Bangkit kementerian.

Rina menegaskan bahawa kolaborasi strategik Jabatan Pembangunan Wanita di bawah kementerian bersama RichWorks dalam usaha membantu golongan wanita tempatan itu tidak melibatkan sebarang kos kepada pihaknya.
“RichWorks menawarkan latihan dan bimbingan (Wanita Bangkit Berniaga) secara percuma kepada wanita yang berminat pada 26 hingga 28 November ini.
“Pemilihan RichWorks sebagai rakan kerjasama berikutan kemampuan dan prestasi yang terbukti telah melahirkan ribuan usahawan jutawan yang berjaya dan kekal sukses sehingga hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh ahli Parlimen Segambut-DAP mengenai jumlah perbelanjaan untuk program yang dianjurkan ketika menggulung Usul Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 bagi kementeriannya.
Sehingga kini, jumlah pendaftaran sudah pun mencapai 25,962 orang dengan lebih 90 peratus terdiri daripada golongan wanita.
Para peserta juga turut berpeluang untuk mendapatkan 47,000 naskah buku terbaru yang bertajuk, 100 Usahawan Jutawan: Satu Misi Bantu The Nation secara percuma.
Buku yang menceritakan kisah inspirasi, perjalanan 100 usahawan jutawan itu dibukukan sempena hari jadi ke-47, Datuk Wira Dr Azizan Osman pada 14 November lalu.
Kepada mereka terutama wanita yang berminat boleh mendaftar di www.wanitabangkitberniaga.com.