Siakap Keli
Gambar: Pejabat Mufti WP

Perlu Ambil Tahu, Pejabat Mufti WP Perjelaskan Hukum Memakai Kuku Palsu

Kuku palsu dikenali sebagai kuku artifisial. Kuku ini kebiasaannya dipakai pada kuku dan lebih panjang berbanding kuku asal. Antara tujuan untuk memakai kuku palsu kerana ingin menutup kuku asal mereka.

Kuku palsu yang beraneka corak dan warna menjadi pilihan para wanita untuk memakainya. Boleh dikatakan rata-rata yang memilih untuk memakai kuku palsu ini dengan tujuan untuk kecantikan sahaja. Namun, hukum memakai kuku palsu juga perlu dititik beratkan.

Lanjutan daripada itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan ada menyiarkan perkongsian mengenai perkara tersebut untuk pengetahuan orang ramai. Untuk mengetahui hukum memakai kuku palsu, mari ikut perkongsiannya di bawah:

Soalan:          

Assalamualaikum w.b.t Datuk Mufti,

Saya ingin bertanyakan satu soalan, apakah hukum seseorang itu memakai kuku palsu? Mohon penjelasan Datuk Mufti. Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Jika pemakaian kuku palsu itu kerana suatu keperluan seperti melindungi bahagian kulit kuku asal yang tercabut atau tujuan rawatan atau seumpamanya, maka diharuskan. Manakala sekiranya pemakaian kuku palsu demi kecantikan tambahan semata-mata, maka perkara itu tidak dibenarkan oleh syarak kerana dikhuatiri termasuk dalam perbuatan mengubah ciptaan Allah SWT. Manakala mereka yang memakainya dengan tujuan rawatan dan perubatan, mestilah meraikan beberapa piawaian atau syarat iaitu pemakaiannya tidak menghalang air untuk sampai ke kulit sewaktu mengambil wuduk dan juga mandi wajib. Begitu juga, hendaklah ia dicipta daripada bahan yang suci lagi halal, di samping rupa bentuknya pula tidak terlalu menyerlah atau melampaui rupa bentuk kuku asal. Bahkan bahan yang digunakan mestilah selamat dan baik untuk digunakan.

Huraian Jawapan

Hiasan kecantikan yang merupakan fitrah wanita itu asalnya adalah baik dan mempunyai asas daripada syarak akan tetapi mestilah tidak melanggar apa yang telah dilarang oleh syarak.

Umumnya, hukum asal bagi pakaian dan perhiasan adalah harus sama ada pada badan, pakaian atau tempat. Akan tetapi, hukumnya berlanjutan sedemikian (yakni halal dan harus) selagimana tiada nas-nas khusus yang mengecualikan hukum asal tersebut.[1]

Definisi kuku palsu (Artificial nails)

Kuku palsu atau nama lainnya kuku tiruan, kuku buatan, kuku fesyen, kuku akrilik dan pelbagai lagi merupakan sambungan yang diletakkan ke atas kuku sebagai suatu aksesori fesyen. Sebahagian reka bentuk kuku tiruan ini ada yang direka menyamai rupa bentuk kuku asal sehampir-hampirnya, begitu juga ada yang direka sememangnya berbeza bagi menampakkan nilai artistik.

Tidak seperti kebanyakan manicure (penjagaan dan perawatan kecantikan kuku), kuku palsu ini memerlukan penjagaan yang rapi, yang mana si pemakai perlu menghadiri salun rawatan kuku sekurang-kurangnya setiap dua minggu sekali, dan dikatakan ia boleh bertahan sehingga sebulan. Maka, tidak dinafikan bahawa kepelbagaian mereka dari sudut saiz, corak, reka bentuk dan ketahanan yang tinggi meletakkan mereka lebih terkedepan berbanding jenis rawatan kecantikan kuku yang lain.

Terdapat dua cara atau pendekatan yang biasa digunakan untuk membentuk dan meletakkan kuku palsu ini iaitu tips (plat plastik ringan yang berbentuk kuku yang dilekatkan pada hujung kuku semula jadi) dan form (kepingan berbentuk dengan bahagian tepi yang melekit yang dapat melilit keseluruhan kuku asal dengan sempurna). Bahan yang digunakan adalah sama ada cecair gel kuat, bahan akrilik atau campuran kedua-duanya sekali di samping ia juga boleh hadir dalam pelbagai bentuk, warna, corak, lukisan dan jenis. Terdapat juga beberapa jenis pemakaian kuku palsu iaitu antaranya kuku jenis akrilik, kuku gel, balutan kuku (nail wraps) dan pemanjangan kuku (nail tips).[2]

Pandangan dari sudut kesihatan

Pemakaian kuku palsu akrilik dapat membantu menyembunyikan atau membaiki kuku yang patah, rosak, pendek dan juga bahagian kuku yang tidak diingini. Ia juga dapat mencegah berlakunya kuku cengkam, kuku pecah mahupun kuku terbelah. Oleh yang demikian, di samping ia digunakan untuk tujuan perhiasan dan fesyen, ada juga yang menggunakannya untuk rawatan dan perubatan seperti yang dinyatakan seperti kuku semulajadi mereka tidak dapat tumbuh dengan baik atau tidak kuat. Masalah ini dapat diselesaikan dengan beberapa teknik rawatan kuku seperti mengepit, mengukir, membalut dan melapisi kuku dengan lapisan akrilik.

Walau bagaimanapun kaedah ini turut mengandungi pelbagai risiko dan keburukan. Dengan cara pemakaian dan pembuangan yang tidak betul, kuku palsu atau kuku tiruan ini boleh merosakkan kuku seterusnya menghalang terus pertumbuhan kuku yang asal. Bukan itu sahaja, pemakaian kuku palsu untuk satu tempoh masa yang lama boleh menyebabkan berlakunya jangkitan kulat atau bakteria di celah kawasan antara kuku palsu dan juga kuku asal.[3]

Tidak sekadar itu, dilaporkan juga bahawa sesetengah jenis kuku palsu mengandungi bahan kimia yang berbahaya seperti Methacrylate Monomers dan Methacrylic Acid  dalam kuku jenis akrilik, Toluene dalam pengilat kuku, Acetonitrile ketika proses pembuangan kuku palsu dan pelbagai lagi bahan kimia lain yang berbahaya.[4] Malahan juga, pemakaian kuku gel yang memerlukan sinaran cahaya ultraviolet (UV) untuk mengeringkan dan mengeraskan gel pada kuku sepenuhnya turut memberi kesan yang tidak baik pada kesihatan.[5] Kesemua bahan ini boleh menyebabkan berlakunya penyakit pada orang yang menghidu atau mengendalikan bahan ini tanpa cara yang betul, terutamanya mereka yang mengendalikan atau bekerja di pusat salun rawatan kuku.

Perspektif Islam

Islam mengharamkan sebarang bentuk pengubahan ciptaan asal bahagian tubuh seseorang yang dilakukan dengan alasan untuk kelihatan lebih cantik sama ada dengan cara penyambungan atau dengan cara pembedahan atau seumpamanya. Hal ini kerana, terdapat hadis yang melarang perkara tersebut sebagaimana diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud, katanya:

لَعَنَ اللَّهُ الوَاشِمَاتِ والمــُوتَشِمَاتِ، والمــُـــتَنَمِّصَاتِ، والمــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ، المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ

Maksudnya: “Allah melaknat wanita-wanita yang membuat tatu, yang meminta dilukiskan tatu, yang mencabut bulu-bulu wajah dan yang merenggangkan gigi untuk kecantikan, yang mengubah ciptaan Allah.” (Riwayat al-Bukhari, 4886)

Hadis ini menunjukkan akan pengharaman semua perkara tersebut dan lafaz ‘laknat’ yang terdapat di dalamnya merupakan dalil bahawa ia termasuk dalam dosa-dosa besar. Selain itu, sebab kepada laknat itu turut dinyatakan dalam hadis melalui lafaz “المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ” iaitu sifat yang dikehendaki oleh orang yang membuat tatu, mencabut bulu wajah dan merenggangkan gigi.[6] Manakala lafaz “المــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ” pula bermaksud mereka melakukan perbuatan tersebut (yakni merenggangkan gigi) kerana ingin mencantikkannya lagi. Oleh yang demikian, terdapat isyarat yang menunjukkan hukum haram yang ditujukan kepada sesiapa yang melakukannya demi kecantikan semata-mata. Adapun jika kerana adanya keperluan mendesak seperti tujuan perubatan atau menghilangkan aib dan seumpamanya, maka ia diharuskan.[7]

Lafaz “لِلْحُسْنِ” (untuk kecantikan tambahan) yang terdapat dalam hadis di atas menunjukkan bahawa larangan tersebut adalah khusus sekiranya ia dilakukan dengan tujuan mendapatkan kecantikan tambahan pada kejadian yang sedia ada (normal) kerana berlaku penipuan padanya. Namun sekiranya dilakukan untuk merawat atau menghilangkan aib maka harus hukumnya.[8] Ini menunjukkan bahawa bukan semua bentuk perubahan itu diharamkan.

Seterusnya, huruf ‘lam’ yang terdapat pada lafaz “لِلْحُسْنِ” ini adalah untuk menjelaskan sebab (التعليل), sekaligus mengecualikan urusan yang melibatkan rawatan dan seumpamanya daripada larangan tersebut.[9]

Kesimpulan

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, boleh disimpulkan seperti berikut:

  • Jika pemakaian kuku palsu tersebut atas sebab keperluan yang mendesak seperti untuk melindungi bahagian kulit kuku asal yang tercabut atau untuk tujuan rawatan atau seumpamanya, maka ia diharuskan.
  • Manakala sekiranya pemakaian kuku palsu itu demi kecantikan tambahan semata-mata tanpa sebarang keperluan yang lain, maka perkara itu tidak dibenarkan oleh syarak kerana dikhuatiri termasuk dalam perbuatan mengubah ciptaan Allah SWT. Apatah lagi perbuatan tersebut secara jelas mengandungi unsur penipuan dan pembaziran.

Dari satu sudut yang lain pula, mereka yang memakainya dengan tujuan rawatan dan perubatan, mestilah meraikan beberapa perimeter atau syarat iaitu pemakaiannya tidak menghalang air untuk sampai ke kulit sewaktu mengambil wudhu’ dan juga mandi wajib. Begitu juga, hendaklah ia daripada bahan yang suci lagi halal, di samping rupa bentuknya pula tidak terlalu menyerlah atau melampaui rupa bentuk kuku asal. Manakala bahan yang digunakan mestilah selamat dan baik untuk digunakan.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

" "