Siakap Keli
Gambar via Bernama

“Portal Itu Meletakkan Gambar Saya..,” KPM Nafi Keluarkan Peraturan Guru Dilarang Berleter Terhadap Murid

Baru-baru ini, sempat beredar sebuah artikel yang dimuatnaik salah satu portal media tempatan menyatakan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengeluarkan jadual “Unit Disiplin KPM: Bentuk-bentuk Hukuman Yang Dilarang”, termasuk larangan guru berleter di dalam kelas.

Susulan artikel bertajuk “Gempar!!! Bermula esok, guru boleh dihukum sekiranya berleter terhadap murid” yang dimuatnaik 21 November lalu, KPM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa pihak mereka tidak pernah mengeluarkan jadual yang bertajuk sedemikian seperti yang tular di media sosial.

Dalam kenyataan sama, KPM turut berkongsi tatacara pengurusan disiplin sebenar yang dikeluarkan oleh KPM. Tatacara yang ditetapkan KPM adalah seperti berikut:

  1. Peraturan-Peraturan Pendidikan (Disiplin Sekolah) 1959;
  2. Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bil. 8/1983: Mengenakan Hukuman Biasa Terhadap Murid-murid yang Melakukan Perbuatan Salah Laku Yang Tidak Dinyatakan Dalam Peraturan-peraturan Pelajaran;
  3. SPI Bil. 7/1995: Tatacara Mengenakan Tindakan dan Hukuman Terhadap Pelajar-Pelajar Sekolah;
  4. SPI Bil. 10/2001: Semua Guru Adalah Guru Disiplin;
  5. SPI Bil. 7/2003: Kuasa Guru Merotan Murid; dan
  6. SPI Bil. 7 Tahun 2011: Pelaksanaan Standard Operating Procedure (SOP) 1:3:7 Pelaporan dan Tindakan Menangani Isu Disiplin.

Pihak KPM turut menegaskan bahawa tatacara pengurusan disiplin murid haruslah dijalankan berdasarkan Garis Panduan dan SPI yang telah ditetapkan KPM.

Jelas Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin melalui hantaran di laman Facebook miliknya, KPM tidak pernah mengeluarkan jadual bertajuk “Unit Disiplin KPM: Bentuk-bentuk Hukuman Yang Dilarang” dalam mana-mana dokumen rasmi KPM. Tambahnya, orang awam dinasihatkan untuk semak terlebih dahulu sesuatu berita sebelum disebarkan untuk mengelak kejadian sama berulang.

Sumber: Dr Radzi Jidin

Eyla Azri