Siakap Keli
Gambar Hiasan via Bernama

Hukum Jamak & Qasar Jika Tujuan Berziarah, Ini Jawapan Mufti

Bagi umat Islam, istilah jamak dan qasar mungkin sudah tidak asing lagi, lebih-lebih lagi para kaki travel yang sering berkelana baik di dalam atau luar negara. Hal ini kerana, kemudahan solat secara jamak dan qasar merupakan keringanan solat yang diberikan kepada umat Islam, terutamanya yang sedang bermusafir.

Solat secara jamak terbahagi kepada dua iaitu jamak taqdim dan jamak ta’akhir. Jamak taqdim merujuk kepada perbuatan menghimpunkan dua solat fardhu dan dilakukan pada waktu solat yang pertama, manakala solat jamak ta’akhir pula sebaliknya. Sementara qasar pula bermaksud memendekkan solat empat rakaat menjadi dua rakaat.

Seperti yang kita tahu, jarak dan tujuan bermusafir adalah faktor yang diberatkan dalam rukhsah solat jamak dan qasar. Dari segi jarak, mungkin ramai yang dah tahu jarak tempat bermukim dengan destinasi tujuan perlulah sejauh dua marhalah atau lebih kurang 82 kilometer.

Namun dari segi tujuan pula, hanya tujuan musafir tertentu sahaja yang dibenarkan untuk melaksanakan keringanan solat jamak dan qasar ini. Persoalannya, jika bermusafir untuk pulang ke kampung yang jaraknya lebih kurang 100 kilometer dari rumah, adakah solat jamak dan qasar dibolehkan?

Menjawab persoalan yang diutarakan individu ini, Mufti Wilayah Persekutuan melalui laman web rasmi tampil memberi penjelasan lanjut. Ikuti penjelasan Mufti di bawah ini.

Tidak boleh solat jamak dan qasar jika masih anggap kampung sebagai rumah

Menurut kemaskini di laman web rasmi Mufti WP setakat 18 Mei 2015, umat Islam tidak dibolehkan untuk melakukan solat jamak dan qasar jika masih menganggap kampung itu sebagai rumah sendiri. Pun begitu, jika ia bertujuan untuk menziarahi orang tua dan kita sudah ada rumah di bandar (tempat bermukim), maka hukumnya dibolehkan.

Berkenaan dengan jarak perjalanan, ia menjadi khilaf ulama kerana jarak yang dinyatakan pengutara soalan dikira secara taqribi (anggaran sahaja) bukan tahdidi (setepatnya). Justeru, ada yang mengatakan 81 km, 89 km, 90 km, 91 km, dan lain-lain lagi.

Selain tujuan berziarah, faktor musafir lain yang dibolehkan untuk melaksanakan rukhsah solat ini termasuk mempunyai tujuan baik seperti urusan berniaga atau bermusafir dengan tujuan yang bukan kerana maksiat.

Sumber: Mufti WP

Eyla Azri