Siakap Keli
Gambar hiasan via HelloDoktor

Ramai Percaya 5 Mitos Tentang Kulit Sensitif, Jom Semak Fakta Sebenar Ini

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Jika anda mempunyai kulit yang sensitif, sudah pasti masalah seperti kulit mudah merah, gatal, rengsa dan radang itu biasa terjadi dan membuat hidup anda serba tidak kena.

Ia mungkin adalah antara simptom normal jika kulit anda itu sensitif namun tidak semua mitos yang anda pernah baca atau dengar tentangnya adalah tepat.

Ikuti perkongsian oleh portal kesihatan Hello Doktor ini untuk merungkai sejauh manakah kebenaran mengenai mitos-mitos kulit sensitif yang selalu kita dengar.

Apa makna jika anda ada kulit yang sensitif?

Untuk pengetahuan anda, kulit sensitif adalah kondisi kulit di mana ia begitu mudah bertindak balas dengan pelbagai anasir luar jika ada kontak padanya.

Sebagai contoh, penderita kulit sensitif biasa akan mengalami kesan reaksi pada kulit apabila menggunakan produk kosmetik tertentu yang tidak sesuai.

Selain itu juga, ada banyak lagi pencetus kepada reaksi kulit termasuklah air, udara, suhu, debu, habuk, hama, debunga, bulu haiwan dan pelbagai pencetus lain.

Antara reaksi kulit sensitif yang biasa berlaku adalah kemerahan, kegatalan, kerengsaan dan keradangan namun ia perlu dibezakan dengan reaksi alergi kulit.

Jika anda adalah salah seorang dengan jenis kulit seperti ini, agak penting untuk anda lebih beri perhatian terhadap persekitaran untuk elak ia jadi lebih teruk.

Gambar hiasan via HelloDoktor

Mitos tentang kondisi kulit ini yang popular!

Sebenarnya, wujud banyak mitos tentang keadaan kesihatan kulit ini yang popular namun masih belum dapat diketahui kesahihannya. Jom kita rungkai bersama!

1. Masalah kulit ini adalah kesan reaksi alergi

Ini adalah satu kekeliruan yang perlu diselesaikan serta-merta. Buat anda yang belum tahu, kedua-dua kondisi ini mungkin hampir sama namun tidak serupa.

Kebanyakan kes kulit yang sensitif bukan disebabkan oleh reaksi alergi sebaliknya didalangi oleh kulit anda yang cenderung bertindak balas dengan melampau.

Pun begitu, pencetus kepada tindak balas kedua-dua kondisi adalah sama namun ia masih perlu dirawat dengan cara berbeza bergantung kepada individu itu sendiri.

2. Masalah kulit ini punca ia kering dan kasar

Ya, mitos ini mungkin ada benarnya kerana kulit yang kering dan kasar biasanya sensitif akibat kekurangan lapisan yang wujud untuk melindungi permukaannya.

Selain kekeringan dan kelembapan, ada lagi beberapa faktor lain yang akan mempengaruhi tahap perlindungan kulit seperti minyak dan peluh semula jadi.

Ini bermakna bahawa kulit kering dan tidak lembap itu mungkin cenderung sensitif namun ia juga turut dipengaruhi oleh faktor-faktor lain yang lebih bersifat alami.

3. Masalah kulit ini hanya jadi pada muka sahaja

Gambar hiasan via HelloDoktor

Ramai percaya bahawa hanya kawasan kulit muka atau wajah sahaja yang akan terjejas dengan sensitiviti pada kulit terutamanya pada hidung, dahi dan dagu.

Ia mungkin kurang tepat kerana kebanyakan individu dengan kondisi kulit seperti ini turut akan mengalaminya pada sekitar kulit di seluruh tubuh badan mereka.

Bahagian seperti tangan, kaki, leher, perut, alat sulit atau kulit kepala juga cenderung untuk sensitif lantas menolak mitos ia hanya jadi pada muka sahaja.

4. Produk hipoalergenik selamat untuk digunakan

Penderita kondisi kulit ini sudah pasti cenderung untuk menggunakan produk kulit yang tertentu sahaja dan contoh yang paling popular adalah hipoalergenik.

Ini kerana produk-produk hipoalergenik dipercayai bersifat semula jadi dan langsung tidak akan menyebabkan kesan sampingan seperti reaksi pada kulit.

Hakikatnya, Food and Drug Administration (FDA) menyatakan bahawa tidak ada satu kepastian bahawa produk sebegini adalah bagus buat kulit yang sensitif.

5. Anda langsung tidak boleh pakai alat kosmetik

Alat solek atau kosmetik boleh jadi pencetus reaksi kulit sensitif, namun ia bukan bermakna anda langsung tidak boleh pakai makeup sepanjang hidup anda.

Sebaliknya, anda masih boleh menggunakan produk yang tidak akan mendatangkan reaksi, tidak mengandungi bahan yang berbahaya serta mudah ditanggalkan.

Apa yang lebih penting, sila pastikan anda telah berbincang bersama doktor terlebih dahulu untuk tahu apa produk yang selamat atau tidak untuk digunakan.

Gambar via HelloDoktor

Jangan ambil mudah untuk jaga kulit anda!

Sekiranya anda adalah salah seorang penderita kondisi kulit sensitif, jangan jadikan ia sebagai satu halangan atau dugaan sehingga anda takut untuk keluar rumah.

Anda perlu tahu bahawa kondisi kulit ini adalah begitu mudah untuk dikawal serta dirawat hanya dengan penggunaan produk-produk yang sesuai buat anda.

Di samping itu, cuba juga untuk elak daripada perkara-perkara yang boleh jadi punca reaksi pada kulit. Dalam erti kata lebih mudah, sila jaga kulit anda dengan baik.

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber: HelloDoktor

Aireena Marizan