Siakap Keli
Gambar Hiasan Via Bernama

Kebenaran Kaji Kanabis, Khabar Gembira Bagi Penyelidik

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) — Tidak mustahil satu hari nanti kanabis, atau lebih dikenali sebagai ganja dalam kalangan masyarakat tempatan, menjadi antara tanaman yang mampu menjana ekonomi negara khususnya bagi industri perubatan, apabila kajian meluas tentang potensinya dapat dilakukan selepas ini.

Ini susulan kenyataan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 peringkat dasar baru-baru ini, iaitu mereka yang berkenaan boleh mengemukakan permohonan penggunaan kanabis untuk perubatan kepada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) bagi dinilai dan didaftar sekiranya ada bukti saintifik yang mencukupi.

Kenyataan itu disambut baik oleh kebanyakan penyelidik dan pakar merawat ketagihan dadah yang ditemu bual Bernama, dengan masing-masing melihat perkembangan tersebut sebagai lembaran baharu dalam usaha meneroka potensi kanabis untuk perubatan yang sebelum ini berdepan jalan sukar.

Bahkan Bernama difahamkan beberapa pakar merawat ketagihan dadah sudah mengemukakan permohonan kajian berkaitan penggunaan kanabis untuk penyakit tertentu susulan kenyataan Khairy itu.

Dalam pada itu, mereka berharap tumbuhan tersebut dapat ditanam sendiri oleh penyelidik bagi memudahkan pemerolehan bekalan bahan untuk kajian mereka.

NEGARA PENGELUAR

“(Langkah ini) sangat bertepatan, sebab penyelidik sudah lama berusaha tetapi gagal kerana sangat sukar mendapatkan kelulusan etika perubatan disebabkan stigma tumbuhan herba ini yang dikaitkan dengan ketagihan, sedangkan bukan semua bahagian pokok hemp (antara tumbuhan kanabis) boleh menyebabkan ketagihan.

“Misalnya CBD atau cannabidiol (antara kandungan aktif dalam pokok kanabis), tidak menyebabkan ketagihan atau ‘high’ malah berpotensi sebagai ubat untuk autisme, tahan sakit, antimurung dan mengubati penyakit ketagihan ganja itu sendiri,” kata Pengarah Pusat Pengajian Sains Ketagihan Universiti Malaya (UMCAS) Prof Madya Dr Rusdi Abd Rashid kepada Bernama.

Kanabis atau nama saintifiknya Cannabis, adalah tumbuhan daripada keluarga Cannabaceae. Antara spesies pokok daripada genus Cannabis ialah cannabis sativa, cannabis indica dan cannabis ruderalis.

Tumbuhan ini menghasilkan kompaun dipanggil cannabinoid dan difahamkan terdapat lebih 100 jenis cannabinoid di dalamnya – paling lazim ditemukan ialah CBD dan THC (Delta 9 tetrahydrocannabinol).

Bagaimanapun kadar kandungan CBD dan THC dalam setiap varieti tumbuhan itu adalah berbeza. Marijuana misalnya, antara tumbuhan kanabis dengan kandungan THC yang sangat tinggi, berbeza dengan hemp yang langsung tidak mempunyai THC tetapi tinggi kandungan CBD.

Di Malaysia, semua varieti kanabis diletakkan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana kandungan bahan aktifnya yang bersifat psikoaktif, iaitu THC yang merujuk kepada semua bahan yang mampu memberi kesan kepada otak, sekali gus boleh menyebabkan perubahan dari segi kewarasan, tingkah laku dan kebolehan berfikir.

Mengulas lanjut, Dr Rusdi berkata stigma menebal dalam kalangan masyarakat terhadap kanabis perlu dikikis selain diterapkan kesedaran bahawa tumbuhan itu tidak hanya membawa keburukan, sebaliknya berpotensi menjadi ubat bagi mereka yang ketagihan ganja.

“Didiklah orang awam mengenai kebaikan tumbuhan ini. Masyarakat tidak perlu bimbang kerana sekiranya diperakukan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk digunakan nanti, pesakit memerlukan preskripsi doktor untuk mendapatkannya, bukan boleh didapati sewenang-wenangnya.

“(Bagi saya) keterbukaan menteri kesihatan dalam isu ini bukan sahaja memberi nafas baharu kepada penyelidik bagi memulakan kajian penggunaan CBD mahupun ketum untuk membantu pesakit, tetapi juga membuka ruang mendidik masyarakat mengenainya.

“Mana tahu suatu hari nanti Malaysia boleh menjadi pengeluar ubat-ubatan berasaskan ketum dan hemp,” kata beliau.

KETINGGALAN?

Bagaimanapun untuk sampai di tahap itu, kerajaan wajar menimbang kebenaran tumbuhan tersebut ditanam secara besar-besaran di negara ini.

“Lebih menguntungkan kalau kita buat kajian menggunakan produk dari Malaysia kerana negara akan mendapat keuntungan sebagai antara pembekal ubat CBD dunia. Tetapi kita perlu pantas memandangkan kita agak ketinggalan berbanding negara lain seperti Thailand,” kata Dr Rusdi.

Pada 2018, Thailand membenarkan penggunaan kanabis bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta perubatan, sekali gus menjadi negara pertama serta pemain utama di rantau ini yang berbuat demikian.

Mengulas mengenai perkara itu, pensyarah di Jabatan Anatomi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Mohamad Aris Mohd Moklas berkata proses liberalisasi penggunaan kanabis terus berkembang di negara berkenaan, apabila pada tahun ini Lembaga Kawalan Narkotik Thailand mengeluarkan kanabis daripada senarai narkotik kategori lima bagi membolehkan penggunaan lebih meluas untuk tujuan perubatan.

Ini bermakna penanaman kanabis dibenarkan tetapi melalui proses permohonan dan pemantauan yang ketat oleh agensi yang berkenaan.

“Sejarah menunjukkan bahawa kanabis merupakan tanaman yang pernah hidup subur di Malaysia pada satu ketika dahulu dan seharusnya potensi tanaman asli yang berpotensi ini dieksploitasi untuk kemakmuran negara dalam bidang perubatan.

“Apa yang kami perjuangkan ialah membenarkan tanaman kanabis untuk perubatan, maksudnya bila untuk perubatan ia masih lagi dikawal. Mengapa kita tidak mahu memanfaatkan pokok ini hanya semata-mata kerana takut nanti ramai (jadi) penagih?

“Kita tidak akan ke mana selagi terus beranggapan begitu, walhal negara jiran kita, Thailand, sudah maju ke depan memanfaatkan peluang yang ada. Saya percaya setiap tumbuhan kurniaan Allah ini ada kegunaannya,” kata Mohamad Aris.

Selain Thailand, penggunaan kanabis perubatan dengan dos terkawal dan dipreskripsi oleh doktor atau pakar dilantik turut dibenarkan oleh 30 lagi negara, antaranya Argentina, Australia, Kanada, Itali, Jerman, Turki dan Denmark.

Kanabis digunakan dalam rawatan untuk mengurangkan simptom penyakit tertentu seperti menghilangkan loya yang dialami oleh pesakit kanser semasa rawatan kemoterapi, dan antara ubat-ubatan yang berasaskan THC yang kini berada di pasaran ialah Dronabinol, Nabilone dan Sativex.

KOS MAHAL

Beliau berpandangan ada kewajaran untuk kerajaan menimbang kebenaran tumbuhan itu ditanam di negara ini kerana kenyataan Khairy itu secara tidak langsung akan mendorong lebih ramai penyelidik tempatan membuat kajian tentang tumbuhan tersebut.

Namun, jika ada kekangan untuk mendapatkan bekalan kanabis seperti perlu diimport, kajian tersebut akan memerlukan kos yang tinggi.

Menceritakan pengalamannya semasa membuat kajian praklinikal untuk mengaitkan kebolehan kanabis dalam pencegahan dan perawatan penyakit neurodegeneratif seperti Alzheimer dan Parkinson, beliau mengakui kos untuk membeli bahan kanabis yang mempunyai kandungan aktif THC sangat tinggi.

“Kajian saya berkaitan penyakit Alzheimer menggunakan kanabis bermula pada 2003 semasa membuat ijazah kedoktoran di University of Nottingham, United Kingdom. Masa itu bahan kanabis senang dapat, tidak jadi isu.

“Tetapi masalah timbul apabila saya membuat kajian praklinikal di Malaysia menggunakan model haiwan, memandangkan kanabis agak mahal kerana terpaksa dibeli dari negara luar. Bayangkan, untuk membeli kandungan aktif kanabis iaitu THC dalam ‘pure form’, sebanyak RM30,000 diperlukan bagi satu gram.

“Sebab itu saya amat bersetuju dan menaruh harapan yang sangat tinggi supaya kanabis dapat ditanam di negara ini dalam kerangka perundangan jelas dan ketat. Ini bukan sahaja bagi membantu sektor perubatan tetapi juga ekonomi,” katanya.

Beliau berkata kajiannya itu masih lagi diteruskan bersama-sama pelajarnya bagi mengenal pasti punca Alzheimer dan rawatan sesuai berasaskan THC namun hanya setakat praklinikal, iaitu menguji dadah menggunakan haiwan.

Justeru, beliau berharap susulan pengumuman Khairy itu, kajian dapat dilaksanakan di peringkat klinikal kerana dapatan kajian praklinikal dilihat berpotensi merangsang pertumbuhan sel saraf pada haiwan, iaitu petunjuk positif untuk merawat Alzheimer, penyakit yang berpunca daripada kematian saraf otak.

“Kajian dilakukan secara berfasa, yang mana terdapat kumpulan tikus yang diaruh (ubat mencetuskan atau mempercepat) menggunakan bahan kimia terlebih dahulu untuk menghasilkan pembentukan Alzheimer pada model tikus.

“Selepas itu barulah tikus tersebut menerima rawatan cannabinoid atau THC dengan dos berbeza dan secara umumnya, saya boleh simpulkan bahawa kanabis mempunyai potensi untuk merawat penyakit Alzheimer yang mana THC mampu merencatkan kemerosotan neuron, dan pada masa sama mengembalikan fungsi normal neuron terjejas,” katanya.

KEBENARAN PERMIT

Berdasarkan dapatan positif kajian itu, termasuk penyelidikan lain di luar negara berkenaan potensi kanabis dalam perubatan, UPM kini dalam proses mendapatkan kebenaran daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menanam tumbuhan tersebut bagi tujuan R&D perubatan.

Menurut beliau, sudah ada beberapa buah syarikat tempatan dan luar negara menyatakan minat untuk bekerjasama dengan UPM sekiranya permohonan untuk mendapatkan permit tersebut berjaya.

“Sekiranya dapat kebenaran, syarikat tersebut akan melabur untuk membantu dari segi peralatan seperti penyediaan rumah hijau kerana kosnya bukanlah murah. Malah, untuk beli biji benih pokok induk, iaitu pokok asal kanabis pun mahal, mencecah ribuan ringgit,” katanya.

Untuk tujuan itu, beliau berkata UPM mempunyai beberapa perancangan, antaranya ialah menghasilkan pokok kanabis paling optimum iaitu pokok dengan kandungan THC tinggi, menghasilkan pokok dengan CBD tinggi, dan seterusnya pokok kanabis yang mempunyai kandungan serat tinggi.

Jelas beliau, kandungan serat tinggi itu boleh didapati daripada varieti hemp yang tidak mempunyai sebarang THC tetapi tinggi CBD dan boleh memberi pulangan baik kepada ekonomi negara sekiranya dimanfaatkan.

Ini kerana katanya serat berasaskan pokok kanabis mempunyai ciri unik berbanding serat daripada pokok lain serta berpotensi untuk dikembangkan kerana mempunyai permintaan tinggi di pasaran global selain tempoh kitaran penanaman yang singkat, sekali gus memberi pulangan modal dengan cepat.

“Saya yakin kanabis akan dapat ditanam di negara ini suatu hari nanti. Lagipun perancangan di UPM untuk tujuan R&D perubatan, bukannya komersial, dan saya mengharapkan, sekiranya UPM dapat kelulusan ini, ia akan menjadi titik tolak kepada penanaman kanabis di negara ini untuk tujuan perubatan sahaja.

“Ini kerana kanabis mempunyai nilai potensi yang sangat tinggi, bukan sahaja dari segi perubatan tetapi juga sektor ekonomi negara. Bagi saya, dengan adanya penubuhan badan yang mengawal atur peringkat kebangsaan yang berperanan sebagai pusat kawalan dan pemantauan lebih ketat serta undang-undang yang ada, salah guna kanabis tidak akan menjadi isu,” katanya.

Sumber: BERNAMA

" "