Siakap Keli
Gambar: Bernama

Mohamaddin Ketapi Sah Jadi Ahli Bersatu

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) — Ahli Parlimen Lahad Datu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Segama Datuk Mohamaddin Ketapi hari ini secara rasmi menjadi ahli Bersatu yang baharu.

Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata permohonan keahlian Mohamaddin diperaku dan diterima dalam Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu malam ini yang dipengerusikan  presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Bersatu menyambut baik keahlian beliau kerana ia bukan sahaja bakal mengukuhkan lagi kedudukan Kerajaan Negeri Sabah pimpinan Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.

Malah ia juga akan memberikan manfaat besar kepada pembangunan serta kebajikan rakyat di Parlimen dan DUN (Dewan Undangan Negeri) yang beliau (Mohamaddin) wakili,” kata Hamzah menerusi satu kenyataan malam ini.

Pada 30 Okt lepas, Mohamaddin mengumumkan keluar Parti Warisan Sabah kerana ingin memberi tumpuan untuk memaju dan membangunkan Parlimen Lahad Datu serta DUN Segama.

Menurutnya lagi, dalam mesyuarat itu, parti itu memutuskan akan mengadakan Persidangan Agung Tahunan (PAT) Bersatu Kelima  pada 18 dan 19 Dis ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya yang bakal dihadiri 1,600 perwakilan seluruh negara secara fizikal.

“Justeru, selamat bersidang diucapkan kepada semua perwakilan Mesyuarat Agung Bahagian di seluruh negara yang akan bermula 26 hingga 28 Nov ini,” katanya.

Mengenai perkembangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, Hamzah berkata Bersatu akan mengadakan perbincangan lanjut bersama parti komponen Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi menentukan strategi dan persiapan menghadapi pilihan raya negeri berkenaan pada 18 Dis ini.

Berhubung PRN Melaka yang diadakan 20 Nov lepas, Hamzah berkata Bersatu beranggapan keputusan pada pilihan raya negeri berkenaan membuktikan PN adalah parti yang mempunyai pengaruh serta sokongan  kukuh dalam kalangan pengundi negeri itu.

“Bersatu merakamkan ucapan terima kasih kepada pengundi PRN Melaka yang telah mengundi dan memberi sokongan kepada calon-calon daripada Bersatu dan parti komponen PN yang lain iaitu PAS dan Gerakan.

Sokongan ini adalah manifestasi penerimaan baik rakyat terhadap PN dan parti komponennya. Susulan itu, Bersatu telah mengenal pasti kelemahan semasa PRN Melaka lalu dan akan mengambil langkah penambahbaikan dengan segera,” katanya.

Sumber: BERNAMA

" "