Seorang anggota Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih ditemui lemas selepas dilaporkan hilang sejak malam semalam, dipercayai terjatuh dari bot.
Memetik laporan Sinar Harian, mangsa, Nurman Hafiz Nordin ketika itu dalam perjalanan pulang dari menangkap ikan bersama abang dan anak saudaranya. Sebelum insiden tersebut berlaku, ketiga-tiga mereka dalam perjalanan pulang dengan menaiki bot, menuju ke Pelantar Nelayan Batu 8, Lekir.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, mereka menerima laporan kehilangan seorang lelaki berusia 35 tahun kira-kira jam 8.09 malam semalam. Mangsa dikatakan terjatuh dari bot yang dinaiki bersama dua lagi nelayan.
“Maklumat daripada nelayan, salah seorang daripada mereka terjatuh dari bot yang berpusing ketika menangkap ikan. Dua daripada mereka selamat manakala seorang lagi hilang,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Tambah jurucakap tersebut, mangsa yang dilaporkan hilang ditemui sekitar jam 8 pagi tadi, kira-kira 500 meter dari lokasi mangsa disyaki terjatuh. Mangsa yang ditemui telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Sumber: Sinar Harian