Siakap Keli
Gambar via Bernama

Daftar, Kemas Kini Maklumat Untuk BKM Bermula 1 Januari – Mohd Shahar

KUANTAN, 28 Nov (Bernama) — Individu yang layak menerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) boleh membuat pendaftaran atau mengemas kini maklumat masing-masing bermula 1 hingga 31 Januari depan, kata Timbalan Menteri Kewangan 1, Mohd Shahar Abdullah.

Beliau berkata bagi penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) sedia ada, mereka tidak perlu membuat permohonan BKM kerana bantuan akan diberikan secara automatik dengan bayaran pertama dijangka pada Mac 2022.

Menurutnya, proses pendaftaran itu dibuka bagi memastikan mereka yang layak, namun tiada dalam pangkalan data diberikan peluang untuk memohon dan pendaftaran serta kemas kini boleh dibuat menerusi laman web Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Jangan risau penerima BPR sedia ada memang akan dapat (BKM)…bagi mereka yang dahulu M40 sekarang sudah rasa termasuk dalam B40 boleh kemas kini rekod masing-masing bermula Januari.

“Kita bagi tempoh sebulan untuk mereka berbuat demikian dan maklumat lanjut berkaitan BKM boleh dirujuk di laman web LHDN,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penutup Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia di Dewan Paya Besar di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd Shahar yang juga Ahli Parlimen Paya Besar memaklumkan Bantuan Khas COVID-19 Fasa 3 akan dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan iaitu pada Disember depan melibatkan peruntukan sebanyak RM1.2 billion untuk 3.8 juta penerima isi rumah kategori miskin dan B40.

Terdahulu beliau dalam ucapannya menasihatkan usahawan luar bandar supaya mempertingkatkan pengetahuan dalam bidang digitalisasi untuk proses pembayaran serta pemasaran produk selain merebut peluang dan insiatif disediakan kerajaan dalam mengembangkan perniagaan mereka.

Pada majlis itu, seramai 16 usahawan menerima pembiayaan sebanyak RM105,000 daripada TEKUN Nasional, 19 syarikat diperuntukkan RM1.3 juta pembiayaan daripada SME Corp manakala lima koperasi di Pahang melalui Tabung Modal Pusingan-Suruhanjaya Koperasi Malaysia menerima RM2.4 juta.

Karnival anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Bank Rakyat selaku rakan strategik itu dijalankan selama dua hari bermula semalam dengan pembabitan lebih 300 usahawan Pahang.

Sumber: Bernama

" "