Siakap Keli
Gambar Via Bernama

Covid: Nilai Rt Catat Penurunan, Beri Kesan Positif Kepada Indikator Utama

KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) — Penurunan nilai Rt (kadar kebolehjangkitan) Malaysia mulai minggu lepas telah mendatangkan kesan positif kepada kebanyakan indikator utama jangkitan COVID-19 yang kini menunjukkan tren penurunan berbanding Minggu Epidemiologi (ME) ke-46 (14 hingga 20 Nov).

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata trend peningkatan kewujudan kluster baharu sehingga 27 Nov lepas (ME ke-47) dalam semua kategori kecuali tempat kerja dan import adalah amat membimbangkan.

Beliau berkata sehingga 27 Nov lepas, sebanyak 2,619,577 kes kumulatif COVID-19 telah dilaporkan dengan 65,978 kes aktif dan 30,280 kes kumulatif kematian.

“Pada ME ke-47 (21 hingga 27 Nov 2021), penurunan kes baharu secara kumulatif ME sebanyak 6.8 peratus iaitu daripada 40,600 kes (ME ke-46) kepada 37,830 kes (ME ke-47).

“Kes kematian konsisten menunjukkan penurunan sebanyak 12.4 peratus dengan 304 kematian berbanding 347 kematian pada ME ke-46,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan situasi COVID-19 di sini hari ini.

Beliau berkata nilai Rt kebangsaan terus menunjukkan penurunan kepada 0.95 setakat semalam berbanding 0.96 pada Ahad.

Menurutnya, tren penurunan nilai Rt itu dijangka akan terus memberi impak positif dalam memastikan Malaysia bergerak ke arah fasa hidup dengan virus dan seterusnya fasa endemik sekiranya rakyat memberi sepenuh kerjasama dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dan hadir pada janji temu suntikan dos penggalak jika telah layak.

Mengulas mengenai peningkatan kluster baharu, Dr Noor Hisham berkata peningkatan semua jenis kategori kluster kecuali import dan tempat kerja amat membimbangkan kerana ia menunjukkan peningkatan aktiviti sosial di semua peringkat selain pematuhan SOP sudah mula dipandang ringan.

“Hal ini terbukti apabila data menunjukkan terdapat peningkatan  kompaun bagi kesalahan gagal memakai pelitup muka sebanyak 8.9 peratus.

Walaupun kesalahan gagal menjaga penjarakan fizikal mulai berkurang (penurunan 73.7 peratus), namun pemakaian pelitup muka dengan betul haruslah diberi penekanan. Ini adalah amat penting bagi memastikan perebakan melalui udara dapat dikurangkan,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham memaklumkan kes baharu COVID-19 meningkat kepada 4,879 kes setakat 12 tengah hari ini berbanding 4,087 kes semalam, menjadikan jumlah kumulatif kes pandemik itu di negara ini sebanyak 2,632,782 kes.

Beliau berkata daripada jumlah kes baharu yang direkodkan itu, 4,855 merupakan kes jangkitan tempatan melibatkan 4,678 warganegara dan 177 bukan warganegara manakala baki 24 adalah kes import membabitkan 16 warganegara dan lapan bukan warganegara.

Memperinci lanjut, beliau berkata daripada 4,879 kes baharu yang direkodkan itu juga, hanya 79 kes adalah kategori tiga, empat dan lima manakala 4,800 kes terdiri daripada kategori satu dan dua.

Dalam pada itu, beliau berkata kes sembuh mencatat 5,168 kes menjadikan keseluruhan kes yang telah pulih adalah 2,537,204 sementara 509 kes pula dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 252 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Sebanyak sembilan lagi kluster juga dikesan hari ini dengan terdapat 231 kluster masih aktif di seluruh negara, katanya.

Sumber: BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story