Unit Siasatan Jenayah Polis Ponorogo telah menahan seorang lelaki dari daerah Ngebel, Kabupaten Ponorogo, Jawa Timur, Indonesia berhubung dakwaan penderaan seksual terhadap dua anak kandungnya sendiri, lapor portal Kompas.
Hasil daripada siasatan pihak polis, suspek yang berusia 58 tahun itu dilaporkan telah mencabul dua anak kandungnya sejak dari lapan tahun yang lalu.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Ponorogo, AKP Jeifson Sitorus menyatakan, suspek telah ditahan selepas isterinya melaporkan perbuatannya itu kepada pihak polis.
“Daripada laporan ibu kandung mangsa yang juga merupakan isteri kepada suspek, kami telah menahannya,” kata Sitorus.
Menurutnya, suspek mengaku bahawa dia telah mencabul anak kandungnya itu sejak dari 2013 ketika kedua-duanya sedang tidur.
“Suspek telah berkali-kali mencabul dua anaknya. Kali pertama ianya dilakukan ke atas salah seorang anaknya adalah pada 2013 ketika mangsa masih lagi berusia 13 tahun,” ujar Sitorus.
Tambahnya, kali terakhir suspek melakukan perbuatan tersebut adalah pada November 2021.
Menurut Sitorus, ibu kandung mangsa sebenarnya telah mengetahui perbuatan keji suaminya itu.
Walau bagaimanapun, suspek sering mengugut ibu mangsa dengan kekerasan apabila dia hendak melaporkan perkara itu kepada orang lain.
Kerana tidak tahan dengan perangai suspek, ibu mangsa akhirnya memberanikan diri melaporkan perbuatan terkutuk suaminya itu kepada pihak polis.
Hasil daripada laporan tersebut, pihak polis terus bergegas menangkap suspek setelah berjaya mengumpul bukti yang mencukupi.
Ketika ini, suspek dilaporkan telah ditahan di Ibu Pejabat Polis Ponorogo bagi membantu siasatan.
Atas perbuatannya itu, suspek bakal berhadapan dengan hukuman penjara maksimum selama 20 tahun sekiranya didapati bersalah.
Sumber: Kompas.com