Empat orang dilaporkan telah cedera dalam kejadian letupan yang disebabkan oleh bom pesawat lama berhampiran sebuah stesen kereta api di bandar Munich, Jerman.
Memetik laporan CNN, letupan tersebut telah berlaku sejurus selepas penggerudian ketika kerja pembinaan berhampiran kawasan itu dijalankan.
Pihak polis berkata bahawa tiada bukti kesalahan jenayah yang terlibat di dalam kejadian itu.
“Setakat ini tiada bukti ia berkait dengan kesalahan jenayah. Menerusi penemuan awal, kami mendapati bahawa terdapat tiga orang yang mengalami kecederaan.
“Kawasan tersebut juga telah ditutup dan trafik kereta api disekat di laluan utama,” kata jurucakap polis Munich, Peter Werthmann.
Bagaimanapun, maklumat lanjut mengenai jenis bom yang terlibat tidak dinyatakan tetapi penemuan bom lama yang kebiasaannya berasal dari Perang Dunia Kedua bukanlah penemuan yang luar biasa di Jerman.
Selepas 70 tahun perang tamat, kira-kira 2,000 tan bom dan peluru hidup masih ditemui di negara itu setiap tahun.
Sumber: CNN