Siakap Keli
Gambar Via Bernama

65 Pelajar SBP Di Cyberjaya Dijangkiti COVID-19

PUTRAJAYA, 1 Dis (Bernama) — Seramai 65 pelajar tingkatan satu dan dua Sekolah Seri Puteri di Cyberjaya didapati dijangkiti COVID-19.

Perkara itu dimaklumkan menerusi ciapan di laman Twitter Radzi Jidin Comms @DRJComms iaitu laman Twitter rasmi pasukan komunikasi Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Menurut ciapan yang dikeluarkan malam ini, Radzi telah hadir ke sekolah berkenaan bagi meninjau situasi yang berlaku di sekolah berasrama penuh (SBP) itu.

“Ini merupakan kali pertama SBP kena kes sebanyak ini. Doakan semoga dipermudahkan segala urusan,” demikian menurut ciapan itu.

Pada 9 Okt lepas, Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan mana-mana sekolah yang dikesan mempunyai kes positif COVID-19 perlu ditutup selama tujuh hari, tanpa menunggu analisis risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Institusi pendidikan di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Melaka mula beroperasi pada 31 Okt lepas.

Operasi institusi di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) itu adalah berdasarkan peralihan ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) sejak 18 Okt lepas.

Sumber: BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story