Siakap Keli
Gambar: Lee Wai Wan

Daun Tersumbat & Air Melimpah Sehingga Bocor, Ini Kesan Buruk Jika Laluan ‘Valley’ Bumbung Terlalu Rapat

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Bagi yang menginap di kediaman jenis lot dan teres, biasanya bumbung rumah mereka mempunyai longkang kecil di antara bumbung untuk menyalurkan air hujan ke bawah.

Namun dalam sesetengah keadaan, ada laluan longkang yang terlalu sempit hingga menyebabkan air hujan tidak mampu ditampung sepenuhnya, lantas mengakibatkan air melimpah ke dalam ruang siling.

Hendak tahu huraian lanjut mengenai isu ini? Jom ikuti perkongsian berguna oleh Lee Wai Wan dalam Tukang Apa Hari Ini seperti di bawah ini. Semoga bermanfaat!

Longkang laluan air di bumbung tidak dibuat dengan baik

Hari ini cerita berkenaan dengan reka bentuk rangka bumbung. Sebolehnya reka bentuk bumbung biarlah seringkas yang mungkin tanpa banyak reka bentuk seperti gambar terakhir.

Ini adalah kerana semakin banyak tempat sambungan, maka kemungkinan masalah bocor adalah tinggi terutamanya apabila tukang bumbung tidak arif dalam bab ini.

Di dalam kes ini valley iaitu longkang laluan air tidak dibuat dengan baik dan telah menyebabkan masalah bocor kerana faktor pemasangan serta faktor luaran iaitu daun kering yang jatuh dari pokok berhampiran.

Laluan air pada valley ini tersekat disebabkan oleh potongan kepingan atap genting yang disusun terlalu rapat menyebabkan daun kering mudah tersekat di bahagian sana.

Apabila banyak daun tersekat dan berlaku hujan yang lebat, air hujan tidak dapat lalu melalui valley itu dengan cepat dan seterusnya menyebabkan limpahan air masuk ke dalam bahagian sana.

Maka dengan ini kami telah membersihkan semua daun di atas bumbung yang berada di bahagian valley. Selepas itu, potongan atap genting di bahagian valley disusun semula agar laluan air tidak terhalang.

Selepas selesai kerja, Tuan Rumah minta kami untuk bantu membersihkan bumbungnya setiap 6 bulan sekali disebabkan oleh rumah itu kelilingnya ada banyak pokok tinggi.

Berikut di bawah adalah lampiran gambar-gambar kejadian laluan longkang bumbung yang tidak dipasang dengan betul.

Gambar: Lee Wai Wan

Kesan bocor di bahagian siling.

Gambar: Lee Wai Wan

Banyak daun kering yang terkumpul di atas valley iaitu longkang laluan air.

Gambar: Lee Wai Wan

Potongan kepingan atap genting terlalu rapat menyebabkan daun kering tersekat di sana.

Gambar: Lee Wai Wan

Daun kering tidak dapat lalu menyebabkan laluan air semasa hujan turut terjejas menyebabkan limpahan air masuk ke dalam.

Gambar: Lee Wai Wan

Bulatan merah menunjukkan atap genting yang retak di mana ia terletak di laluan longkang air untuk atap genting dan akan menyebabkan air masuk melalui lubang itu.

Anak panah biru menunjukkan potongan atap genting yang terlalu rapat menyebabkan daun kering tersumbat di bahagian sana.

Gambar: Lee Wai Wan

Banyak juga daun kering yang dibawa turun ke bawah. Ini beg sampah jenis yang besar. Bukan jenis yang kecil ya.

Gambar: Lee Wai Wan

Siap kerja. Sedap mata memandang. Daun kering serta air hujan boleh lalu dengan lebih lancar selepas ini.

Gambar: Lee Wai Wan

Reka bentuk bumbung yang rumit serta banyak sambungan adalah lebih berisiko mengalami bumbung bocor. Lebih-lebih lagi bila tukang bumbung tidak mahir membuat pemasangan.

Sekiranya anda tidak mahu pening kepala, sakit hati ataupun koyak poket di kemudian hari, pilihlah reka bentuk bumbung yang lebih ringkas.

Sumber: Lee Wai Wan melalui Tukang Apa Hari Ini

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'