Seorang lelaki ditemukan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri oleh isterinya selepas disyaki terkena mesin pemotong di dapur rumahnya di Praya, Lombok Tengah, Indonesia.
Ketua Polis Praya, Iptu Hariono mengesahkan bahawa terdapat satu kes penemuan mayat di dapur rumah yang berlumuran darah dilaporkan.
“Ketika itu, isteri mangsa sedang memeriksa dapur rumahnya, dia mendapati bahawa mangsa telah terbaring sambil berlumuran darah,” kata Iptu Hariono.
Tambahnya, kes tersebut kini sedang dalam siasatan bagi mengetahui punca kematian mangsa iaitu sama ada dibunuh atau membunuh diri.
Jelasnya lagi, kejadian itu bermula apabila isteri mangsa terdengar bunyi mesin pemotong dihidupkan di dapurnya.
Menurut adik mangsa, ketika kejadian, dia telah terdengar bunyi seperti lembu sedang disembelih.
Bagaimanapun, dia tidak berani untuk keluar rumah dan menyuruh isteri kepada mangsa mengunci pintu serta tidak keluar daripada rumah kerana takut.
Isteri mangsa kemudiannya telah pergi ke dapur untuk melihat sebelum terkejut apabila dia mendapati bahawa suaminya berada dalam keadaan tidak sedarkan diri sambil berlumuran darah.
Tersentak dengan kejadian itu, isterinya terus menjerit meminta tolong. Penduduk setempat kemudiannya terus bergegas ke arahnya bagi mengetahui punca teriakan tersebut.
“Anggota telah dikerahkan untuk melakukan siasatan dan mengumpul maklumat daripada saksi,” katanya.
Ketua Polis Lombok Tengah, Iptu Ridho Rizki menyatakan bahawa beberapa barang bukti seperti mesin pemotong dan beberapa bukti lain telah disita.
Walau bagaimanapun, keluarga berkenaan enggan melakukan bedah siasat kerana menganggap bahawa kejadian itu adalah musibah dan mangsa disyaki mengalami kemurungan.
“Laporan berkenaan enggan melakukan autopsi itu telah kami terima. Tetapi kami masih lagi sedang giat menyiasat kes ini,” katanya.
Sumber: iNewsNTB.id/METROPOL