Siakap Keli
Gambar : IPD Port Dickson

Tular Aksi Lagak Marshal Kawal Trafik Untuk Bagi Laluan Konvoi Motosikal Berkuasa Tinggi, Polis Kesan Individu Terlibat

Tular baru-baru ini, sebuah rakaman video telah dimuat naik memaparkan seorang individu melakukan aksi marshal dengan mengarahkan kenderaan lain untuk bergerak ke lorong kiri, dipercayai berlaku di Port Dickson.

Menerusi rakaman video yang berdurasi 3 minit itu, terlihat individu memberikan arahan marshal kepada sebuah kenderaan awam supaya memperlahankan kenderaan dan bergerak ke kiri lorong jalan bagi membenarkan sekumpulan motorsikal berkuasa tinggi dalam jumlah lebih kurang 20 biji motorsikal melalui laluan tersebut.

Kumpulan konvoi tersebut dipercayai bergerak dari arah Kuala Sungai Baru, Alor Gajah, Melaka melepasi kawasan Jalan Tanjung Agas, Pasir Panjang, Port Dickson.

Susulan daripada penularan video berkenaan, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supritendan Aidi Sham bin Mohamed dalam satu kenyataan media di laman Facebook semalam memaklumkan bahawa pihak polis masih lagi sedang mengesan individu yang terlibat.

Kata Aidi Sham, beliau menyeru kepada mana-mana pihak yang menjadi saksi kejadian untuk menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.

Jelasnya lagi, seseorang marshal tidak dibenarkan untuk memberi sebarang arahan bagi tujuan untuk menahan atau memberhentikan kenderaan lain tanpa kehadiran mana-mana pegawai polis.

Beliau juga menegaskan bahawa pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana ahli kumpulan konvoi tersebut kerana ianya boleh mendatangkan bahaya dan menyekat hak-hak bergerak di atas jalan awam.

Siasatan berkenaan kes ini akan dijalankan di bawah Seksyen 21 Akta Polis 1967, Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Halangan Lalulintas dan Kaedah-Kaedah Lalulintas 167/59 (Kaedah 12(3)(A)- (Kesalahan di garisan berkembar).

Orang ramai juga dinasihatkan agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Port Dickson di talian 06-6472222.

Sumber : IPD Port Dickson

Fathin Nadzira