Untuk bacaan khas para pelajar dan mahasiswa. Mungkin ada yang dah tahu atau yang masih belum tahu bahawa dalam bajet yang dibentangkan pada Oktober lalu, komitmen kerajaan memastikan nasib golongan pelajar, kekal terbela.
Sedikit-sebanyak dapatlah meringankan beban tak hanya para pelajar tetapi, para ibu bapa yang berpendapatan sederhana.
Apa pelajar dapat?
Dalam pengumuman tempoh hari, berikut merupakan inisiatif yang dibuka buat para pelajar dari segi kewangan dan pendidikan:
-
Pas perjalanan bulanan tanpa had bernilai RM5 untuk murid tahun 1 hingga tingkatan 6 dan golongan OKU bagi tren KTM di Lembah Klang, Komuter Utara, tren Kuala-Lipis-Tumpat dan tren Sabah jajaran Beaufort-Tenom.
-
Mahasiswa dengan bantuan pinjaman PTPTN layak mendaftar di bawah skim pinjaman komputer riba menerusi program Skim BSN MyRinggit-i COMSIS di Bank Simpanan Nasional (BSN).
-
Sebanyak RM14.5 bilion diberikan kepada Kementerian Pengajian Tinggi untuk ‘makeover’ universiti-universiti awam.
-
RM67 juta disalurkan dalam usaha Malaysian Research & Education Network (MYREN) di IPT bagi menaik taraf talian akses.
-
Industri Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dinaikkan peruntukannya sebanyak RM300 juta serta akan memberi manfaat kepada lebih 25,000 peserta program TVET.
-
RM140 juta diberikan kepada JAKIM untuk penyelenggaraan sekolah Tahfiz, sekolah agama rakyat dan institusi pondok berdaftar.
Antara inisiatif lain yang ditawarkan buat anda, para pelajar yang disayangi ialah:
e-Start
Program e-Start bertujuan meringankan beban kewangan dan menggalakkan perbelanjaan secara nirtunai dalam kalangan belia (berumur 18 -20 tahun) dan juga pelajar sepenuh masa di institusi pengajian tinggi. Sebanyak RM150 akan dikreditkan secara one-off ke dalam akaun e-dompet para belia. Melalui pembayaran ini, mereka boleh membeli barang keperluan menggunakan Skim Transaksi Tanpa Tunai.
Bayangkan jika seorang anak mendapat bantuan sebanyak RM150, lima orang anak dalam satu isi rumah akan memperoleh RM750. Walau bagaimanapun, tarikh penebusan e-Wallet belum dimaklumkan dan akan diumum kelak.
Program Peningkatan Taraf Hidup Orang Asli
Bagi pelajar sekolah menengah Orang Asli pula, mereka akan mendapat wang saku sebanyak RM4/sehari mulai tahun hadapan.
Pelanjutan Galakan Cukai bagi Program Latihan Industri Berstruktur
Pelanjutan galakan cukai bagi Program Latihan Industri Berstruktur sehingga tahun taksiran 2025 dan turut diperluas kepada pelajar bagi peringkat Ijazah Sarjana, Sijil Profesional serta Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 1 dan 2.
Peranti Siswa Keluarga Malaysia
Program ini membolehkan setiap pelajar golongan B40 di IPT sepenuh masa dibekalkan satu tablet dengan peruntukan RM750 setiap satu. Sehingga hari ini, syarikat telekomunikasi yang terlibat termasuk Celcom Axiata Berhad, Digi Telecommunications, Maxis Berhad, U Mobile Sdn Bhd, Telekom Malaysia Berhad dan YTL Communications Sdn Bhd.
Pada masa ini, kerajaan belum lagi memperincikan kaedah dan cara permohonan bantuan ini. Tempoh pendaftaran dijangka akan bermula pada suku kedua 2022 (April – Jun 2022).
Sebelum ini, dalam Belanjawan 2021 lepas, kerajaan memperkenalkan inisiatif CERDIK. Di bawah projek itu, sebanyak 150,000 komputer riba telah disalurkan secara percuma menjelang September 2021. Sebanyak RM150 juta telah disuntik ke dalam tabung CERDIK yang modalnya disumbang oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Untuk mengetahui lebih lanjut, klik link ini: MCMC
Rancangan Makanan Tambahan
Penyediaan bekalan susu harian akan diteruskan bagi memastikan murid-murid daripada keluarga berpendapatan rendah mendapat kandungan khasiat harian demi pertumbuhan fizikal dan mental yang menyeluruh. Sebahagian perolehan ini dikhaskan kepada pengeluar susu tempatan.
Inisiatif Pendidikan Anak-Anak Bumiputera
Sebanyak RM6.6 bilion disediakan bagi kemudahan pendidikan buat anak-anak Bumiputera antaranya di bawah MARA, UiTM dan Yayasan Peneraju. Peruntukan ini disediakan untuk pinjaman pendidikan, menaik taraf program sijil ke diploma, selain usaha melahirkan profesional dalam kalangan Bumiputera di bidang perubatan, kejuruteraan dan kewangan.
Pembinaan sebuah Sekolah Menengah Agama di Wilayah Persekutuan Labuan
Aspek pengimarahan syiar Islam juga menjadi tumpuan dalam Bajet 2022. Kerajaan memperuntukkan 1.5 bilion ringgit bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri dan untuk membina sebuah Sekolah Menengah Agama di Wilayah Persekutuan Labuan dengan kos RM65 juta..
Untuk mengetahui dengan lebih terperinci, layari laman web rasmi KPT atau laman web Kementerian Kewangan Malaysia. Untuk info terkini, ikuti laman sosial Facebook, Twitter dan Instagram Kementerian Kewangan Malaysia.