Sebuah rakaman video memaparkan seorang lelaki diserang oleh burung unta selepas menceroboh kawasan peribadi untuk memancing di kolam, lapor Daily Mail.
Lelaki yang dipercayai berusia dalam lingkungan 50 tahun telah diserang oleh burung ‘gergasi’ itu di sebuah hartanah berhampiran bandar Yancheng di wilayah timur, Jiangsu pada Sabtu lalu.
Menurut laporan, tiga orang lelaki itu dikatakan membuat lubang di pagar untuk menyelinap masuk kolam berkenaan dan salah seorangnya memilih untuk memancing di tepi kawasan burung unta dipelihara, lapor laman berita Toutiao.
Menerusi rakaman video tersebut, kelihatan lelaki itu mengacu sebatang galah ke arah burung unta itu apabila haiwan itu tiba-tiba muncul di hadapannya.
Burung yang kuat itu dipercayai mula menyerang lelaki itu yang jatuh ke tanah ketika cuba melarikan diri dengan mengerakkan paruhnya ke arah galah itu sambil mendekatinya.
Burung unta tersebut dikatakan menyerang sekali lagi dan sempat memijak lelaki itu semasa dia terbaring di atas tanah sebelum melencong ke arah lain, memetik daripada laporan Daily Mail.
Kata Encik Sun, pemilik burung unta itu, dia membeli burung tersebut tiga tahun lalu dan beratnya kini melebih 440 paun (200 kg). Dia juga pernah merasai kemarahan burung itu dan berasa sakit pada seluruh badannya beberapa hari selepas dipijak.
Tambahnya lagi, dia tidak kisah orang mahu memancing di kolamnya. Ada kalanya kawasan itu menjadi sesak pada hujung minggu. Tetapi, dia sentiasa meminta orang ramai memaklumkan kepadanya terlebih dahulu untuk mengelak daripada diserang burung untanya.
Pemancing tersebut dilaporkan telah menyelinap masuk ke dalam hartanah miliknya dan hanya mengetahui selepas menyemak rakaman CCTV.
Menurut Encik Sun, pemancing yang diserang itu tidak mengalami sebarang kecederaan selepas kejadian berlaku.
“Saya sangat suka membela burung unta kerana haiwan itu tahu cara melindungi harta saya lebih bak berbanding mana-mana anjing pengawal,” tambahnya lagi.
Sumber : Daily Mail