Bencana banjir kilat yang melanda beberapa negeri di Malaysia ketika ini amat membimbangkan. Selain dari rumah dimasuki air, ada juga yang gagal menyelamatkan kenderaan mereka untuk dibawa ke lokasi yang lebih selamat akibat ditenggelami air.
Sudah tentu ia mencetuskan kerisauan ramai. Hal ini kerana ia boleh menyebabkan kerosakan pada kenderaan anda. Namun, apa yang menjadi persoalan adalah, adakah kereta yang ditenggelami banjir masih boleh diselamatkan?
Menerusi perkongsian oleh Carsome, ini 5 langkah yang boleh anda lakukan bagi mengurangkan kos pembaikan dan cara membuat tuntutan insurans jika kereta anda ditenggelami banjir.

#1 Periksa Paras Air
Perkara pertama yang anda perlu lakukan sekiranya kereta anda ditenggelami banjir ialah periksa paras air dan keadaan kereta anda terlebih dahulu selepas banjir surut. Air banjir kebiasaannya meninggalkan kesan lumpur pada permukaan yang bersentuhan dengannya terutamanya pada bahagian luaran kereta. Maklumat ini penting untuk menilai kemungkinan kerosakan sama ada air banjir telah menenggelamkan keseluruhan kereta dan telah memasuki bahagian enjin kereta dan sebagainya.
#2 Jangan Hidupkan Enjin
Sekiranya banjir menenggelamkan keseluruhan kereta anda termasuk ruang kabin dan enjin, jangan sesekali hidupkan enjin kereta anda kerana ia berpotensi untuk menyebabkan litar pintas. Komponen utama seperti enjin dan sistem gear mungkin telah rosak disebabkan banjir. Perkara yang boleh anda lakukan ialah cabut bateri kereta anda dan panggil mekanik atau trak tunda untuk membawa kereta anda terus ke bengkel atau pusat servis kenderaan.
#3 Periksa Enjin atau Gearbox
Setelah kereta anda tiba di bengkel, periksa enjin atau gearbox kereta anda terlebih dahulu. Gunakan batang celup (dipstick) kereta anda – jika amaun minyak enjin/minyak gear melebihi amaun yang sepatutnya, ini bermaksud enjin anda sudah dimasuki air. Sekiranya minyak enjin dan minyak gear anda telah bercampur dengan air, anda perlu keluarkan dan gantikannya dengan minyak baharu.
Lakukan flushing dengan ulangan sebanyak 3 hingga 5 kali bergantung kepada nasihat mekanik anda. Minyak hitam dan minyak gear yang telah bercampur dengan air boleh menjejaskan prestasi kereta.
#4 Flush Petrol (Jika Perlu)
Kedudukan tangki minyak yang sedikit rendah juga meningkatkan kebarangkalian air banjir memasuki tangki tersebut. Keluarkan petrol yang telah bercampur dengan air daripada tangki minyak kereta anda untuk mengelakkan kerosakan yang lebih serius pada bahagian enjin kereta anda. Minta pendapat mekanik anda terlebih dahulu sama ada perlu lakukan flushing atau tidak.
#5 Cabut dan Keringkan Komponen Kereta
Mana-mana komponen dalam kereta yang boleh ditanggalkan seperti radio perlu dikeringkan. Cuci kereta anda dengan semburan air deras terutamanya di bahagian enjin dan brek. Namun begitu, jangan sesekali sembur ke arah lubang penapis udara dan penutup minyak pelincir. Selain itu, bersihkan juga kekotoran pada kusyen kereta yang mungkin telah ditenggelami lumpur untuk elakkan kusyen daripada berbau hapak.
Untuk kesan yang lebih optimum, gunakan perkhidmatan mereka yang pakar mencuci kusyen. Mereka biasanya akan membuka kerusi anda dan mencuci segenap inci ruang kereta anda dengan teliti.
Adakah kereta anda dilindungi insurans banjir?
Kebiasaannya, kereta di Malaysia dilindungi oleh insurans komprehensif yang merangkumi perlindungan kerosakan atau kehilangan kenderaan disebabkan oleh kecurian atau kebakaran, kerosakan disebabkan oleh kemalangan, kematian atau kecederaan ke atas pihak lain dan kerosakan ke atas harta benda pihak lain. Namun begitu, bagi anda yang mungkin tidak tahu, anda sebenarnya boleh menambah polisi perlindungan tambahan khusus untuk perlindungan bencana alam.
Perlindungan tambahan ini dapat membantu anda sekiranya kereta anda rosak disebabkan oleh bencana alam seperti banjir, ribut, tanah runtuh atau bencana alam lain. Pun begitu, ia tertakluk pada terma dan syarat polisi insurans. Perlindungan bencana alam ini boleh ditambah semasa anda renew insurans dan roadtax kereta anda dengan bayaran tambahan dianggarkan sekitar RM50 hingga RM200 setahun bergantung pada jenis polisi.
Jika kereta anda dilindungi oleh insurans tambahan bencana alam, ini 5 cara untuk membuat tuntutan insurans banjir bagi memudahkan urusan anda:
#1 Hubungi Pihak Insurans
Jika kereta anda ditenggelami banjir, maklumkan insiden tersebut kepada pihak insurans anda. Jika perlu, minta bantuan perkhidmatan trak tunda. Elakkan daripada menghidupkan kereta anda kerana ia mungkin boleh menyebabkan kerosakan yang lebih serius.
#2 Kumpulkan Bukti
Kebanyakan syarikat insurans memerlukan dokumen sokongan dan bukti dalam urusan tuntutan insurans berkaitan banjir:
- Catat lokasi dan masa/tarikh insiden banjir yang berlaku.
- Ambil gambar kerosakan kereta yang ditenggelami banjir.
- Sediakan salinan kad pengenalan, salinan lesen memandu, salinan geran dan salinan polisi insurans untuk rujukan.
- Butiran atau dokumen sokongan lain yang menjelaskan kerosakan kereta (jika ada).
#3 Buat Laporan Polis
Jika boleh, buat laporan polis sekurang-kurangnya dalam tempoh 24 jam untuk memudahkan urusan tuntutan insurans anda.
#4 Serahkan Borang Tuntutan dan Dokumen Sokongan
Jika dokumen-dokumen yang diperlukan sudah lengkap, anda bolehlah menyerahkan borang tuntutan anda bersama-sama dengan dokumen sokongan tersebut kepada ejen insurans atau syarikat insurans anda. Tempoh pemprosesan tuntutan kerugian anda biasanya akan dimaklumkan oleh pihak insurans untuk rujukan anda.
#5 Hantar Kereta Ke Bengkel Panel
Kebiasaannya, pihak insurans akan menasihati anda untuk menghantar kereta yang terjejas banjir ke bengkel panel syarikat insurans. Anda boleh mendapatkan senarai lengkap bengkel panel berdekatan anda daripada pihak insurans.
Walau bagaimanapun, anda mungkin tidak dapat menyelamatkan kereta anda untuk kembali 100% seperti asal. Bagi anda yang berada di kawasan perumahan yang berisiko banjir dan juga berdekatan sungai, anda dinasihati untuk memperbaharui insurans dengan perlindungan bencana alam.
Sumber: Carsome