Siakap Keli

PDRM Umum Pertukaran Lima Pegawai Kanan

KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) — Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor SAC Nik Ezanee Mohd Faisal antara lima pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terlibat dalam pertukaran jawatan berkuat kuasa serta merta.

Setiausaha PDRM DCP Ruslan Khalid dalam kenyataan hari ini memaklumkan Nik Ezanee dilantik sebagai juruiring polis kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Jabatan Perdana Menteri.

Pertukaran lain melibatkan Timbalan Pengarah, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Bukit Aman DCP Datuk Mazli Mazlan dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Operasi) di jabatan sama.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Sarawak SAC Nurulhuda Mohd Salleh dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah (Bahagian Dasar Sumber Manusia) Pembangunan Kerjaya, Jabatan Pengurusan, Bukit Aman.

Pertukaran lain membabitkan Ketua Penolong Pengarah (Bahagian Dasar Sumber Manusia) Pembangunan Kerjaya, Jabatan Pengurusan, Bukit Aman SAC Wan Rukman Wan Hassan yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Terengganu.

Dalam pada itu SAC (Hal Ehwal Pesara Polis), Jabatan Pengurusan, Bukit Aman SAC Mohd Soaihami Rahim dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Hal Ehwal Pesara Polis), Jabatan Pengurusan, Bukit Aman.

Sumber: BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.